PETALING JAYA: Penganalisis positif terhadap rancangan KPJ Healthcare Bhd. untuk melepaskan perniagaan Aged Care (penjagaan orang tua) yang merugikan di Australia sebanyak A$0.7 juta (kira-kira RM2.2 juta).
Mereka berpendapat, rancangan itu dijangka mengurangkan kos operasi dan mengurangkan keperluan aliran tunai untuk penyedia penjagaan kesihatan terbesar negara itu.
RHB Investment Bank Bhd. berpandangan, rancangan itu akan membolehkan KPJ memfokus semula pada perniagaan domestiknya.
“Jika urus niaga itu berjaya diselesaikan menjelang 2024, RHB menganggarkan potensi pertambahan pendapatan 8 peratus berdasarkan unjuran pendapatan 2024.
“Kami masih menyukai saham itu (KPJ) untuk hala tuju strategik utamanya, menggalakkan pertumbuhan pelancongan kesihatan dan peningkatan beransur-ansur dalam kecekapan operasi, dengan segmen hospital mungkin akan mula menyumbang secara bermakna kepada Kumpulan menjelang 2024,” kata firma penyelidikan dalam nota kajian.
RHB mengekalkannya panggilan “beli” dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM1.66 untuk kaunter KPJ.
KPJ, melalui anak syarikat miliknya dengan pegangan 57.16 peatus, iaitu Jeta Gardens (Qld) Pty Ltd dan Jeta Gardens Aged Care (Qld) Pty Ltd, menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan DPG Services Pty Ltd yang berpangkalan di Australia pada 12 Disember lalu untuk cadangan pelupusan perniagaan itu pada A$700 juta.
Al-`Aqar Healthcare REIT memiliki tanah dan bangunan kemudahan Jeta Gardens Aged Care, manakala KPJ memiliki perniagaan dan memajak harta tersebut.
Pelupusan itu melibatkan penjualan dan pemindahan aset dan liabiliti terpilih yang berkaitan dengan perniagaan, menghasilkan keuntungan yang dijangka daripada pemansuhan liabiliti bersih berjumlah A$6.17 juta (kira-kira RM18.94 juta).
Aged Care penyumbang hasil terbesar kepada Kumpulan Jeta Gardens, mewakili masing-masing kira-kira 94 peratus, 96 peratus, 96 peratus dan 97 peratus daripada jumlah hasil pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (TK2020), TK2021, TK2022 dan sembilan bulan berakhir pada 30 September 2023 (9BTK2023).
Kumpulan Jeta Gardens telah melaporkan kerugian tahunan selepas cukai antara A$4.814 juta hingga A$10.554 juta, bersama liabiliti bersih antara A$20.017 juta hingga A$31.881 juta sepanjang tiga tahun kewangan yang lalu dari TK2020 hingga TK2022.
Selain itu, bagi sembilan bulan berakhir pada 30 September 2023, Kumpulan mengalami kerugian berjumlah A$7.33 juta, menimbulkan keraguan besar terhadap keupayaan Kumpulan untuk meneruskan usaha (bagi memulihkan prestasi kewangan).
Dalam nota berasingan, Kenanga Investment Bank Bhd berkata, langkah itu selaras dengan strategi KPJ untuk mengkaji semula operasi dan pelaburan bukan terasnya, yang telah menimbulkan cabaran kepada pendapatan sejak beberapa tahun kebelakangan.
Katanya, penjualan itu akan menyumbang kepada peningkatan 2 peratus dalam keuntungan bersih KPJ untuk TK2024, dengan peningkatan yang sama dalam aset bersih sesaham daripada 51 sen kepada 52 sen.
“Sementara menunggu penyelesaian perjanjian itu, kami mengekalkan unjuran pendapatan kami, TP RM1.56, dan panggilan ‘outperform’,” katanya. – UTUSAN









