PETALING JAYA: Persaingan serantau mungkin menyebabkan margin keuntungan jangka panjang pembuat sarung tangan Malaysia lebih rendah, menurut firma penyelidikan CGS-CIMB Securities.
Dalam nota kajiannya, firma itu yang mengekalkan penarafan `kurang wajaran’ berkata, walaupun ia menjangkakan industri bertukar menguntungkan menjelang tahun kewangan kumulatif 2025, namun unjuran keuntungan bersih kelihatan tidak memberangsangkan berbanding penilaian semasa.
CGS-CIMB memberi penarafan ‘tahan’ ke atas kaunter Supermax Corp Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd sambil mengekalkan penarafan ‘mengurangkan’ untuk Hartalega Holdings Bhd. dan Top Glove Corp Bhd.
Firma penyelidikan itu membangkitkan tiga pemerhatian negatif utama dalam industri sarung tangan yang mungkin berterusan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
Pertama, pembuat sarung tangan Malaysia masih mengalami pengurangan harga sebanyak AS$3 hingga AS$4 (RM14.02-18.69) setiap 1,000 keping, memandangkan struktur kos yang lebih rendah oleh pemain serantau di China dan Thailand, memanjangkan cabaran dalam meneruskan peningkatan kos.
Kedua, keuntungan, diukur oleh EBITDA setiap 1,000 keping, mungkin pada paras normal baharu memandangkan kuasa harga yang semakin terhakis
Dan ketiga, peningkatan inventori sarung tangan berikutan penimbunan yang diterajui oleh pandemik mengehadkan kenaikan yang kukuh kepada pertumbuhan volum dalam tempoh terdekat.
“Pada pandangan kami, ini boleh menghadkan peningkatan dalam kadar penggunaan industri,” katanya.
CGS-CIMB menjangkakan empat pemain utama atau Big 4 iaitu Top Glove, Kossan, Supermax dan Hartalega, berubah daripada kerugian agregat RM456 juta dalam Tahun Kewangan 2023 kepada keuntungan sederhana RM21 juta dalam Tahun Kewangan 2024, berkembang kepada keuntungan bersih RM568 juta dalam Tahun Kewangan 2025.
“Kami menjangkakan EBITDA bagi setiap 1,000 keping pembuat sarung tangan tempatan pulih kepada 85 hingga 95 peratus daripada purata prapandemik menjelang Tahun Kewangan 2025CY25F.
“Kami juga menjangkakan beberapa variasi kepada pemulihan dalam kadar penggunaan, diketuai oleh Hartalega kerana ia telah mengalami pengurangan kapasiti terbesar. Kami percaya Top Glove dan Supermax mungkin masih mempunyai banyak lebihan kapasiti untuk dibuang, justeru kadar penggunaannya pulih dengan lebih perlahan,” katanya.
Sementara itu, RHB Investment Bank Research (RHB IB) mengekalkan penarafan “neutral” pada sektor produk sarung tangan getah, dengan berkata, sentimen ke atas sektor itu bertambah baik baru-baru ini, berikutan peningkatan berurutan dalam volum jualan seperti diumumkan semasa musim laporan keputusan pada bulan November.
Dalam nota kajiannya, firma penyelidikan itu berkata, ia menjangkakan pemulihan dalam permintaan akan kekal `bergelombang’, dan perbezaan bermakna mungkin hanya dapat dilihat pada separuh kedua tahun depan (2H2024).
RHB IB berkata, bagi suku terbaharu, Kossan Rubber Industries Bhd. mencatatkan prestasi yang lebih baik daripada yang dijangkakan, manakala selebihnya (Supermax Corp Bhd dan Hartalega Holdings Bhd) berada di bawah jangkaan.
Katanya, wajaran sektor adalah disebabkan jangkaan normalisasi kos, rasionalisasi latihan barisan pengeluaran dan pandangan bahawa inventori pelanggan boleh menjadi normal menjelang 2H2024.
“Bagaimanapun, kami memilih untuk kekal konservatif, kerana kami masih belum melihat permintaan yang konsisten.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan peningkatan dalam keterlihatan permintaan, ditambah dengan prospek kos yang menggalakkan untuk 2024, menawarkan ruang utama untuk peningkatan margin.
“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan rasionalisasi inventori sarung tangan akan menjadi kenyataan menjelang 2H2024, yang akan menghasilkan margin yang lebih baik,” katanya.-UTUSAN










