Siapa tercela? Pembikin atau penguasa - Utusan Malaysia

Siapa tercela? Pembikin atau penguasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAAF, tidak ada sebarang ulasan filem minggu ini. Kolum kali ini saya khaskan untuk membawa anda merenung isu yang hangat-hangatnya ‘membakar’ media sosial akhir-akhir ini membabitkan drama Cela arahan Feroz Kader.

Cela ditayangkan menerusi platform penstriman Viu sepatutnya mempunyai 12 episod. Namun selepas enam episod siaran, nasib drama ini bertukar malang. Hilang jejaknya dari platform.

Cela mengisahkan seorang wanita elitis, Datin Anees lakonan Nabila Huda, melakukan manipulasi menerusi kaedah pangantun kanak-kanak terhadap remaja 17 tahun, Kaer lakonan Hun Haqeem. Cela dibawa dalam nuansa kelam, intens, menepati sub genre dark romance yang dipilih untuk naskhah ini.

Karakter dan konfliknya kompleks turut membabitkan kerja-kerja kotor politikus, juga dinamika kuasa tidak seimbang antara kelas atasan dan rendah. Setidaknya itu yang saya cermati sepanjang mengikuti Cela sebelum dihilangkan dari radar. Difahamkan, kerana Cela didapati mengundang sensasi, drama itu diarahkan untuk diturunkan.

Akta Penapisan Filem 2002 tidak terpakai untuk penapisan mana-mana drama di platform penstriman baik itu Netflix, Viu, Prime Video, iQIYI atau lain-lain. Bagaimanapun, kes seperti drama Cela diselia di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). MCMC menyediakan garis panduan kawal selia kendiri yang diperbaharui dalam edisi kedua diterbitkan 1 September lalu.

Saya ingin tekankan sekali lagi bahawa ia adalah sebuah garis panduan, bermakna tidak terikat dengan mana-mana undang-undang.

Kerana tidak ada sebarang siaran akhbar dikeluarkan secara rasmi oleh MCMC mengenai mengapa drama tersebut terpaksa diturunkan, saya melakukan semakan terhadap enam elemen kandungan yang dianggap batas ketat atau red line dalam ‘OCC Guidelines Best Practices for Online Curated Content Services Providers’ oleh Content Forum.

Enam perkara tersebut termasuklah bahan penderaan seksual kanak-kanak, kandungan menyeru keganasan kepada negara, seruan keganasan terhadap golongan tertentu, melanggar hak cipta, memudahkan scam. Cela tidak melanggar mana-mana elemen yang dinyatakan.

Cela telah dinyatakan untuk klasifikasi umur 18 tahun di mana kandungan jika ada mengandungi unsur seram, darah, ganas tidak berlebihan, adegan dewasa tidak berlebihan, ketelanjangan tidak berlebihan, unsur sosial, politik, sensitif dan keagamaan memerlukan pemahaman tinggi.

Mana satu dosa Cela?

Jadi, di mana dosa Cela berada? Adakah kerana temanya yang mengangkat isu child grooming yang juga perkara sama disindir Good Boys Go To Heaven? Adakah kerana unsur seksual yang kononnya keterlaluan sedangkan aksi lebih berahi telah ditunjukkan lebih kerap dalam Rampas Cintaku?

Malah, The Ghost Bride menayangkan adegan ciuman pipi tanpa kamera trik. Bagaimanapun, drama ini tidak pula berdepan tindakan hingga terpaksa diturunkan. Mengapa ‘hukuman’ ini tidak konsisten dan hanya terjadi kepada naskhah ‘terpilih’ sahaja?.

Adakah kerana kita akhirnya terpaksa akur dengan tekanan masyarakat yang hanya menilai berdasarkan klip drama tanpa menontonnya. Adakah Cela sekadar drama bernasib malang yang kebetulan hadir dengan drama lain yang menuai kontroversi pada masa sama? Adakah Cela sekadar kambing hitam alang-alang untuk nampak pihak tertentu buat kerja.

Tindakan terhadap Cela menimbulkan resah, adakah mana-mana karya boleh berdepan perkara sama walaupun tidak melanggar mana-mana garis panduan yang diberikan?

Katakanlah jika di masa hadapan ada sebuah drama mengkritik ahli politik yang kebetulan dipuja ketika itu, adakah perkara sama akan terjadi hanya kerana orang tidak suka? Atau apa sahaja yang mencabar persoalan dan kotak fikir massa dengan jalan cerita sedikit berbeza akan berhujung nasib sama?

Di manakah pembikin mahu menuntut bela jika karya yang dihasilkan ‘dibenam’ tanpa pembelaan, hanya kerana kata netizen ‘drama ini tidak baik untuk anak saya’ sedangkan terang-terang klasifikasi usianya 18 tahun ke atas. Mungkinkah kita perlu diam-diam sahaja sebab lama-lama orang akan lupa? Tapi pembikin yang ‘cedera’ sampai mati akan ingat segala luka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×