Malaysia di landasan betul capai matlamat pembangunan mampan

Malaysia di landasan betul capai matlamat pembangunan mampan

MALAYSIA jatuh tujuh tangga dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan 99 indikator menunjukkan peningkatan positif pada tahun 2022, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Ketersediaan indikator pada 2022 meningkat kepada 79 peratus (195 indikator) berbanding 71 peratus (175 indikator) pada tahun sebelumnya.

“Daripada keseluruhan 195 indikator, sebanyak 146 data tersedia bagi tahun 2022. Sejumlah 68 peratus (99 indikator) menunjukkan peningkatan positif bagi tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan sempena penerbitan Laporan Indikator SDG Malaysia 2022.

Menurut Mohd. Uzir, laporan itu adalah yang kelima diterbitkan. Ia mengandungi 195 indikator termasuk 20 indikator baharu di peringkat nasional, 80 indikator peringkat negeri dan 23 indikator di peringkat daerah yang menyediakan input bagi penilaian pencapaian SDG di Malaysia pada 2022.

Beliau berkata, buat julung kalinya pada tahun ini, DOSM telah mengorak langkah bagi menghasilkan Laporan Indikator SDG bagi setiap negeri dan Wilayah Persekutuan.

Di samping itu, lima laporan indikator mengikut bidang tumpuan juga diterbitkan iaitu Kemajuan Masyarakat; Kemakmuran; Penjagaan Bumi; Keamanan dan Kerjasama.

Katanya, dari aspek Kemajuan Masyarakat, terdapat 69 indikator bagi mengukur pencapaian bidang tumpuan ini. Sejumlah 31 indikator telah menunjukkan pencapaian yang positif pada tahun 2022 antaranya nisbah mortaliti ibu bersalin (MMR).

“Berdasarkan Kemakmuran, sejumlah 53 indikator telah tersedia bagi mengukur pencapaian matlamat dalam bidang tumpuan ini. Pencapaian yang baik telah dilaporkan bagi 26 indikator termasuk pertumbuhan tahunan KDNK dan kadar pengangguran.

“Kadar pertumbuhan tahunan KDNK sebenar perkapita meningkat dari 2.9 peratus (2021) kepada 8.2 peratus pada 2022 dan kadar pengangguran bertambah baik daripada 4.6 peratus (2021) kepada 3.9 peratus pada 2022.

“Kadar pertumbuhan tahunan KDNK sebenar perkapita meningkat dari 2.9 peratus (2021) kepada 8.2 peratus pada 2022 dan kadar pengangguran bertambah baik daripada 4.6 peratus (2021) kepada 3.9 peratus pada 2022,” katanya.

Beliau berkata, aspek Penjagaan Bumi pula, terdapat 40 indikator bagi mengukur pencapaian bidang tumpuan ini dengan 18 indikator telah menunjukkan pencapaian yang baik pada 2022 termasuk kadar kitar semula kebangsaan dan kuantiti buangan terjadual.

Kadar kitar semula kebangsaan meningkat kepada 33.2 peratus (2022) berbanding 31.5 peratus pada 2021. Sementara itu, kuantiti buangan terjadual yang dihasilkan oleh industri menurun sebanyak 21.2 peratus kepada 5,915.1 ribu tan metrik
pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.

Dari segi Keamanan, sejumlah 16 indikator telah tersedia bagi mengukur pencapaian matlamat dalam bidang tumpuan ini. Pencapaian yang baik telah dilaporkan bagi sembilan (9) indikator dan antaranya bilangan kes jenayah kekerasan dan orang
tahanan yang tidak dijatuhkan hukuman. Bilangan kes jenayah kekerasan berkurang kepada 8,636 kes (2022) berbanding 9,941 kes pada 2021.

Seterusnya dari segi Kerjasama, terdapat 17 indikator bagi mengukur pencapaian bidang tumpuan ini. Sejumlah 15 indikator telah menunjukkan pencapaian yang bertambah baik pada tahun 2022 termasuk peratusan individu yang menggunakan Internet.

Peratusan individu yang menggunakan internet di Malaysia meningkat secara marginal dari 96.8 peratus (2021) kepada 97.4 peratus pada 2022.

Tujuh negeri mencatatkan peratusan individu menggunakan internet lebih tinggi daripada tahap nasional, iaitu Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya sebanyak 99.9 peratus, diikuti WP Kuala Lumpur (99.8 peratus), Pulau Pinang (98.7 peratus), Selangor (98.5 peratus), Johor (98.3 peratus), Negeri Sembilan (98.0 peratus) dan Melaka (97.7 peratus).

“Mengikut Laporan 2022, sebanyak 53 indikator (21 peratus) yang belum tersedia, ianya dikategorikan kepada masih perlu dibangunkan (28 indikator atau 11 peratus), 19 indikator (8 peratus) tidak tersedia dan 6 indikator (2 peratus) tidak relevan kepada Malaysia.

“Kesemua 17 Matlamat telah mencapai ketersediaan indikator melebihi 50 peratus dan dua (2) Matlamat telah berjaya mencapai 100 peratus ketersediaan indikator iaitu Matlamat 4: Pendidikan Berkualiti dan Matlamat 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur.  Kementerian/ agensi memainkan peranan penting dalam pengukuran pencapaian SDG negara dengan menyumbang sebanyak 77 peratus indikator berbanding 23 peratus indikator daripada DOSM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×