PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) memulih kepada 2.7 peratus pada Oktober 2023, dipacu oleh prestasi kukuh sektor perlombongan, di samping pertumbuhan berterusan pengeluaran elektrik dan pembuatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, IPP kembali kepada momentum positif pada Oktober 2023, merekodkan pertumbuhan 2.7 peratus tahun ke tahun berbanding negatif 0.5 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
“Peningkatan pada Oktober 2023 merupakan tertinggi sejak Mei 2023 yang didorong oleh prestasi kukuh sektor perlombongan sebanyak 8.7 peratus (September 2023,-5.2 peratus).
“Pada masa yang sama, sektor elektrik dan pembuatan terus meningkat dengan masing-masing sebanyak 5.8 peratus (September 2023: 2.5 peratus) dan 0.9 peratus (September 2023: 0.4 peratus).
“Bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 2.2 peratus iaitu menunjukkan kenaikan untuk tiga bulan berturut-turut selepas 1.1 peratus yang direkodkan pada September 2023,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, peningkatan pengeluaran pembuatan pada Oktober 2023 disokong oleh pengembangan dalam industri berorientasikan domestik sebanyak 6.7 peratus (September 2023: 5.8 peratus).
Jelasnya, kenaikan ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan dua digit sebanyak 10.6 peratus dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler.
“Tambahan lagi, pembuatan produk prosesan makanan dan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan turut memacu pertumbuhan dengan masing-masing mencatatkan 9.4 peratus dan 6.8 peratus.
“Sebaliknya, industri berorientasikan eksport yang menyumbang lebih kurang dua pertiga daripada pengeluaran pembuatan terus mengalami penurunan, namun dengan pertumbuhan negatif yang lebih kecil 1.5 peratus pada Oktober 2023 (September 2023: -2.0 peratus).
Jelasnya, penyusutan ini dipengaruhi terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-4.3 peratus); pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-4.0 peratus) dan pembuatan kelengkapan elektrik (-2.5 peratus).
“Trend ini selari dengan eksport negara yang merosot 4.4 peratus pada bulan tersebut, iaitu lebih baik daripada negatif 13.8 peratus yang dicatatkan pada September 2023.
“Perbandingan dengan bulan sebelumnya, pengeluaran sektor pembuatan menyusut 1.3 peratus berbanding positif 2.1 peratus yang direkodkan pada September 2023,” katanya.
Mohd. Uzir menambah, pengeluaran sektor perlombongan meningkat ketara sebanyak 8.7 peratus pada Oktober 2023 (September 2023: -5.2 peratus) iaitu mencatatkan pertumbuhan kukuh sejak September 2022 (15.7 peratus).
“Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan dua digit sebanyak 10.2 peratus (September 2023:-1.4 peratus) yang direkodkan dalam pengeluaran minyak mentah dan kondensat, manakala gas asli pulih kepada 7.6 peratus (September 2023: -7.8 peratus) pada bulan tersebut.
“Berbanding bulan September 2023, indeks perlombongan melonjak 16.7 peratus berbanding kejatuhan 1.6 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya,” ujarnya. –UTUSAN