SEPANG: Tiga kanak-kanak yang menjalani pembedahan pemindahan hati di China selamat tiba di tanah air hari ini selepas hampir satu bulan satu minggu menjalani rawatan dan pemantauan rapi.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia, Marsila Yuhaini Bahruddin berkata, ketiga-tiga pembedahan itu dilaksanakan di Renji Hospital, sebuah hospital kerajaan di China yang mempunyai kepakaran dalam bidang pemindahan organ.
“Alhamdulillah, semua anak menunjukkan perkembangan sangat baik dan telah dibenarkan pulang selepas mendapat kelulusan doktor pakar di sana,” katanya ketika ditemui di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1), di sini hari ini.
Menurut beliau, Adik Hawa Maisarah dari Kelantan yang menjalani pemindahan hati dan pembedahan pankreas pada 6 Januari lalu kini mencatatkan bacaan fungsi hati normal selepas komplikasi kebocoran pankreas berjaya dirawat.
Adik Athalia dari Bintulu, Sarawak yang menghidap Biliary Atresia serta mengalami kegagalan prosedur Kasai pula menjalani pemindahan hati pada 14 Januari lalu dan kini kembali aktif seperti kanak-kanak seusianya.
Sementara itu, Adik Helena dari Selangor yang menghidap Sindrom Alagille menjalani pembedahan pada 16 Januari dan turut menunjukkan fungsi hati normal meskipun masih memerlukan pemantauan lanjut bagi masalah ascites.
Marsila berkata, keseluruhan dana digunakan bagi membantu rawatan ketiga-tiga kanak-kanak tersebut adalah kira-kira RM200,000, hasil sumbangan orang ramai serta bantuan dari pelbagai yayasan.
“Dana itu digunakan sebaik mungkin bagi memastikan rawatan berjalan lancar. Jika ada lebihan, kita akan salurkan kepada anak-anak lain yang lebih kritikal,” katanya.
Beliau berkata, sebaik tiba di Malaysia, kesemua pesakit akan menjalani rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Dalam pada itu, Marsila berharap kerajaan dapat mempertimbangkan usaha menghantar doktor-doktor Malaysia ke China bagi menimba ilmu serta menambah kepakaran dalam bidang pemindahan hati.
“Kita mahu suatu hari nanti kepakaran itu dapat diperkukuhkan di negara sendiri supaya lebih ramai anak Malaysia dapat dirawat tanpa perlu ke luar negara,” katanya.-UTUSAN










