Ibu bapa pantau anak bawa vape ke sekolah 

Ibu bapa pantau anak bawa vape ke sekolah 

FISOL Salleh (dua kiri) bercakap pada sidang akhbar Operasi Bersepadu E-Cig Mega di Menara 1 Bukit Aman di sini hari ini. Turut sama, Pengarah Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Zulhizzam Abdullah (dua kanan).-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saiz peranti rokok elektronik atau vape yang kecil dan mudah disorok memudahkan pelajar menggunakan peranti itu secara sembunyi-sembunyi di sekolah.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Fisol Salleh, berkata walaupun terdapat larangan menjual peranti vape kepada individu bawah 18 tahun, ada sesetengah ibu bapa meminta anak mereka membelinya dan ia amat tidak wajar.

Katanya, kesedaran ibu bapa amat penting dalam memainkan peranan untuk menangani isu ini.

“Kami menggesa ibu bapa berperanan aktif membendung penggunaan vape dalam kalangan remaja, terutama apabila trend ini semakin meluas di sekolah.

“Peranan ibu bapa amat penting dalam memastikan anak tidak terjebak dengan penggunaan vape ini, selain amaran keras kepada premis yang beroperasi tanpa mematuhi peraturan termasuk menjualnya kepada pelajar sekolah.

“Premis yang berdaftar mesti mematuhi semua syarat ditetapkan dan mereka yang beroperasi tanpa pendaftaran akan dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Fisol berkata, Op E-Cig Mega yang dilancarkan bagi membanteras isu serius berkaitan pengimportan, pengilangan dan penjualan produk vape secara haram.

“Operasi ini menggunakan pendekatan holistik, membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pematuhan penuh terhadap Akta Kawalan Produk Tembakau untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852),” katanya.

Fisol berkata, pengguna vape khususnya remaja berisiko menghadapi komplikasi pernafasan dan kardiovaskular iaitu EVALI (E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury).

“Kos rawatan bagi seorang pesakit yang dimasukkan ke hospital selama 12 hari akibat EVALI ini dianggarkan antara RM150,000 hingga RM150,892.

“Produk vape yang tidak berdaftar berisiko dimasukkan bahan terlarang seperti dadah sebelum dijual ke pasaran, sekali gus membahayakan remaja dan golongan muda,” katanya.

Fisol berkata, perdagangan vape haram juga menyumbang kepada pengelakan cukai dan melemahkan usaha tadbir urus.

“Penguatkuasaan tegas akan diteruskan dengan fokus pada perkongsian risikan dan pemantauan rantaian bekalan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN