ALOR SETAR: Dalam kalangan dunia jahitan pakaian, Jamilah Fashion bukan nama asing lagi yang tidak sekadar mengambil tempahan pelanggan, malah menjadi salah satu pusat latihan bertauliah dalam bidang itu yang tersohor di Kedah.
Jamilah Fashion Enterprise yang beroperasi di Simpang Empat juga setakat ini menerima pelbagai pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran yang membolehkan syarikat itu menjadi tenaga pengajar untuk pelbagai kursus latihan kemahiran dalam pembuatan pakaian khususnya wanita.
Syarikat berkenaan sehingga kini melatih ratusan anak muda terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kemahiran jahitan pakaian dengan kerjasama banyak agensi kerajaan dan institusi kemahiran.
Pengasas syarikat tersebut yang juga Pengurusnya, Jamilah Abu Bakar, 58, yang berkecimpung dalam bidang itu sejak 2003 menjelaskan, kejayaan itu bukan mudah melainkan hasil kerja keras.
“Saya minat jahitan sejak sekolah menengah kerana dulu-dulu kami belajar berkaitan Sains Rumahtangga dan saya mengambil bidang jahitan. Selepas tamat sekolah saya melanjutkan minat itu dengan mengikuti pelbagai kursus terutama daripada Kemas.
“Sehinggalah pada 2023, saya beranikan diri buka kedai jahitan dengan menyewa di bangunan Mara. Saya ingat waktu itu saya cuma bawa mesin jahit dari rumah dengan kerusi dan meja saja ke kedai ini. Kosong dan lapang sahaja kedai ketika itu,” katanya.
Bercerita lanjut, dengan keadaan yang serba kekurangan itu, Jamilah nekad mengembangkan perniagaan tersebut daripada menjahit tempahan pakaian untuk masyarakat setempat dengan memberanikan diri memohon pelbagai tender tempahan pakaian.
“Pada 2006 saya cuba-cuba masuk tender, sana sini saya cuba, ada berjaya dan ada yang tidak. Setelah beberapa lama saya mendapat kepercayaan juga. Mula-mula sikit dan kemudian banyak helai.
“Saya mendapat banyak bimbingan daripada agensi kerajaan kerana saya sering mengikuti kursus yang mereka anjurkan dan daripada situ saya kekal hubungan,” kata ibu kepada lima anak ini.

Begitu juga daripada sebuah mesin jahit kini, Jamilah Fashion mampu memiliki lebih 100 mesin jahit yang digunakan untuk menyiapkan tempahan pelanggan dan melatih peserta kursus jahitan itu.
Katanya, selain menerima tempahan syarikat berkenaan giat melatih anak muda yang ingin berkecimpung dalam bidang jahitan.
“Setahun Jamilah Enterprise melatih sehingga 300 peserta kemahiran jahitan. Saya mula melatih mereka sejak 2007 apabila mendapat kepercayaan daripada GiatMara. Pada 28 Disember lepas, saya baru selesai konvokesyen dengan 30 pelatih kursus jahitan ini yang juga sesi terakhir 2023.
“InsyaAllah sesi 2024 akan dibuka pada Februari depan. Untuk menampung pembelajaran saya turut membuka premis baharu di Kota Sarang Semut yang menyediakan kemudahan berkaitan,” katanya.
Katanya, pusat latihan itu juga baru sahaja ditawarkan tauliah bagi dua program iaitu operasi teknikal pakaian wanita daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran berkuat kuasa sehingga 2026.
“Sebelum ini Jamilah Fashion menerima tauliah dalam program pentadbiran fesyen dan pakaian daripada jabatan itu. Ini adalah satu cabaran untuk saya menjayakan program ini.
“Selain anak muda, saya pernah melatih wanita-wanita yang ingin memahirkan diri mereka dalam bidang jahitan juga sebelum ini. Rancangan masa depan saya adalah untuk memperbesarkan lagi perniagaan ini dan melahirkan lebih banyak pelatih dan seterusnya usahawan dalam bidang ini,” katanya. – UTUSAN










