Haily raih projek bernilai RM64 juta di Johor

Haily raih projek bernilai RM64 juta di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Haily Group Berhad memperoleh kontrak pembinaan RM64 juta daripada Meridin East Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Mah Sing Group Berhad, bagi pembinaan 327 unit kediaman dan dua pencawang TNB untuk perbandaran Meridin East di Johor Bahru.

Kontrak tersebut merupakan antara projek terbesar Haily setakat ini dan merupakan projek utama kelima yang diraih oleh Kumpulan tahun ini, menjadikan jumlah nilai kontrak projek sebanyak RM697.51 juta.

Kediaman setiap satunya berukuran 20’ x 70’ dan dua pencawang TNB itu akan ditempatkan di Parcel 2G perbandaran Meridin East di Taman Bestari Perdana, Mukim Plentong, Daerah Johor Bahru di Johor.

Syarikat itu berkata, kontrak melibatkan Parcel 2G1 dan Parcel 2G2, dengan 157 unit dan satu pencawang TNB akan dibina di Parcel 2G1, manakala baki 170 unit dan satu pencawang TNB akan dibina di Parcel 2G2.

Kontrak itu dijadualkan siap dalam tempoh 15 bulan dari tarikh permulaan Parcel 2G1 dan Parcel 2G2, yang mana akan ditentukan kemudian, katanya dalam kenyataan.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily Group Berhad, See Tin Hai berkata, pihaknya berbesar hati untuk meraih satu lagi kontrak daripada Mah Sing, antara pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.

“Kita sedia maklum, Meridin East merupakan pembangunan perbandaran campuran terbesar di Mah Sing, dengan jumlah keluasan tanah 1,313 ekar. Kami berbangga menjadi sebahagian daripada projek ini.

“Kumpulan terus mendapat manfaat daripada kepercayaan dan reputasi yang telah kami bina selama ini, terutamanya dalam keupayaan kami untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan mengekalkan standard mutu kerja yang tinggi.

“Dengan ini, saya percaya kami berada di kedudukan selesa untuk meneruskan kebangkitan aktiviti dalam sektor pembangunan hartanah Johor,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, anak syarikat milik penuh Haily, Haily Construction Sdn. Bhd. telah menerima Surat Anugerah daripada Meridin East untuk pembinaan 327 unit rumah teres dua tingkat dan dua pencawang TNB.

Jelas beliau, sejak dua tahun lalu Johor telah berjaya meraih pelaburan besar dalam sektor minyak dan gas, pusat data dan projek pembuatan.

“Ini merupakan petanda baik bagi ekonomi Johor, yang sepatutnya menular kepada pembangunan hartanah dan aktiviti pembinaan juga.

“Ekonomi Malaysia semakin pulih dengan mantap daripada wabak Covid-19 dan Haily telah memperoleh beberapa kontrak penting, mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu kontraktor terkemuka Johor,” katanya.

Tambahnya, kegiatan utama Kumpulan sebagai kontraktor utama yang terlibat dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman di wilayah selatan Semenanjung Malaysia, khususnya Johor.

Mereka juga terlibat dalam penyediaan jentera pembinaan serta aktiviti pertanian iaitu mengurus dan menuai durian dan buah-buahan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN