PETALING JAYA: Jumlah eksport petroleum mentah dan kondensat negara meningkat kepada RM7.8 bilion pada suku ketiga 2023 daripada RM6.5 bilion suku sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Thailand merupakan destinasi eksport utama untuk petroleum mentah dan kondensat dengan nilai sebanyak RM2.3 bilion atau 29.3 peratus, diikuti oleh Jepun (23.3 peratus) dan Australia (18.3 peratus).
Beliau berkata, nilai eksport keluaran petroleum bertapis pula berjumlah RM31.0 bilion (ST2 2023: RM35.3 bilion) dengan 18.5 peratus dieksport ke Singapura, diikuti Australia (16.8 peratus) dan Indonesia (13.6 peratus).
“Nilai eksport gas asli cecair (LNG) direkodkan lebih rendah pada suku ini berjumlah RM12.5 bilion (ST2 2023: RM12.8 bilion). Jepun kekal destinasi utama dengan nilai eksport sebanyak RM4.9 bilion (39.5 peratus), diikuti China (28.0 peratus) dan Korea (19.2 peratus),” katanya dalam laporan Statistik Perlombongan dan Gas Aslli, Suku Ketiga 2023.
Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, nilai import petroleum mentah dan kondensat berkurang kepada RM12.5 bilion daripada RM16.8 bilion suku sebelumnya.
Beliau memberitahu, lebih daripada separuh atau 53.9 peratus diimport dari Arab Saudi dengan nilai RM6.7 bilion, diikuti Emiriah Arab Bersatu (18.2 peratus) dan Amerika Syarikat (6.0 peratus).
“Selain itu, import keluaran petroleum bertapis juga menunjukkan penurunan pada suku ini sebanyak RM30.6 bilion (ST2 2023: RM33.3 bilion). Nilai import tertinggi sebanyak RM10.9 bilion atau 35.4 peratus adalah dari Singapura, diikuti China (13.9 peratus) dan Korea (10.5 peratus).
“Bagi gas asli cecair (LNG), nilai import mencapai RM1.6 bilion (ST2 2023: RM1.8 bilion) dengan import dari Australia berjumlah RM1.4 bilion atau 86.3 peratus, manakala Brunei menyumbang 13.7 peratus,” jelasnya.
Menurut Mohd. Uzir, pada suku ketiga 2023, pengeluaran minyak mentah dan kondensat Malaysia berjumlah 45.9 juta tong, meningkat 0.3 peratus berbanding tahun lalu.
Katanya, kenaikan disumbangkan terutamanya oleh kondensat dengan pertumbuhan sebanyak 16.2 peratus setelah mencatatkan 11.3 peratus pada suku sebelumnya.
Dari segi komposisi, katanya, minyak mentah merupakan penyumbang tertinggi dengan 72.1 peratus atau 33.1 juta tong, manakala Kondensat merangkumi 27.9 peratus atau 12.8 juta tong.
Sementara itu, pengeluaran gas asli menyusut 2.1 peratus (ST2 2023: -3.7 peratus) kepada 677.8 bilion kaki padu pada suku dilaporkan.
“Berbanding dengan suku sebelumnya, pengeluaran minyak mentah dan kondensat berkembang sebanyak 0.9 peratus (ST2 2023: -5.6 peratus) manakala pengeluaran gas asli pulih kepada 0.2 peratus daripada negatif 7.7 peratus yang direkodkan pada suku yang lalu,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, harga Minyak mentah dan kondensat pada suku ketiga menunjukkan peningkatan selepas trend penurunan selama empat suku berturut-turut.
Jelas beliau, harga purata “Lifting” Berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat adalah AS$89.4 per tong (ST2 2023: AS$80.5 per tong), sementara harga per tong bagi WTI dan Brent masing-masing mencatatkan AS$82.3 dan AS$86.7. – UTUSAN










