Djibouti pelawa usahawan Malaysia

Djibouti pelawa usahawan Malaysia

djibouti
Sebahagian daripada delegasi Malaysia yang menyertai Forum Perniagaan Djibouti-Malaysia di Djibouti baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Djibouti, iaitu negara di tanduk Afrika mempelawa usahawan dari Malaysia untuk meneroka peluang pelaburan yang terdapat di negara itu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh wakil kerajaan negara itu kepada delegasi usahawan Malaysia yang menyertai Forum Perniagaan Djibouti-Malaysia baru-baru ini.

Pada forum yang diusahakan oleh Exim Bank, Al Waafi Bank dan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu, delegasi Malaysia di ketuai oleh Ketua Pengarah Labuan Financial Services Authority, Nik Mohamed Din Nik Musa.

Salah seorang peserta forum itu yang juga Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, Djibouti menawarkan peluang pelaburan terutamanya dalam tenaga boleh baharu (TBB).

Selain itu katanya, Djibouti juga menawarkan pelaburan dalam bidang kesihatan, pembinaan dan pendidikan.

Dalam sektor pembinaan katanya, negara ini dalam proses untuk membangunkan kawasan perbandaran moden yang turut membuka peluang pelaburan kepada usahawan Malaysia.

“Salam Group sedang membangunkan projek Salam City dengan 7,000 rumah kediaman mampu milik.

“Mereka mempelawa usahawan Malaysia untuk meneroka peluang perniagaan yang boleh mengurangkan kos pembinaan.

“Umpamanya, lampu jalan kuasa solar dan sebagainya yang membuka banyak peluang pelaburan termasuk daripada usahawan-usahawan Malaysia,” katanya.

Dalam bidang TBB pula kata­nya, Djibouti amat mengalu-alukan pelaburan sama ada yang berasaskan solar atau pun angin.

Kata Guntor, negara itu juga sangat berminat untuk meneroka sumber tenaga berasaskan geothermal di mana Malaysia juga mempunyai kepakaran.

Menurut Guntor, pada masa ini kadar tarif elektrik di Djibouti sangat tinggi kerana 70 peratus sumber tenaganya diimport dari Ethiopia.

Menurut beliau, selain mahal ia juga sangat berisiko kerana bergantung kepada pihak luar selain bekalan yang tidak stabil.

“Untuk itu mereka menjemput usahawan-usahawan Malaysia untuk melakukan pelaburan di Djibouti.

“Malah mereka juga menjanjikan untuk menjadi pintu masuk strategik kepada usahawan-usahawan Malaysia ke pasaran Afrika,” katanya.

Guntor memberitahu, sepanjang forum itu delegasi Malaysia berpeluang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Djibouti, Abdoulkader Kamil Mohamed; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Yonis Ali Guedi; Menteri Kesihatan, Ahmed Robleh Abdilleh dan gabenor bank negaranya, Ahmed Osman Ali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya