IPOH: Syarikat pengeluar kopi segera, Chek Hup Sdn. Bhd. menaja kempen pengiklanan Tahun Melawat Perak 2024 dengan nilai RM4.5 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, menerusi tajaan itu, syarikat tersebut juga menaja minuman keluarannya pada program kerajaan negeri di sepanjang kempen Tahun Melawat Perak.
“Produk kami akan menjadi jenama kopi rasmi negeri sempena Tahun Melawat Perak.
“Produk Chek Hup juga akan dibawa dalam acara dan program kerajaan negeri dan Tourism Perak yang berlangsung di luar negara,” katanya.
Beliau berkata pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tajaan ikan promosi Tahun Melawat 2024 di antara Tourism Perak dan Chek Hup di sini.
Menerusi perjanjian tersebut, kerjasama itu akan berlangsung selama setahun sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Sementara itu, Pengarah Urusan Chek Hup Sdn.Bhd, Joseph Tan berkata, enam jenis bungkusan minuman Chek Up memaparkan maklumat mengenai lokasi pelancongan menarik di negeri ini untuk mempromosikan Tahun Melawat Perak.
Antara produk syarikat itu termasuk Siri Tarik bru tempatan Malaysia seperti Chek Hup 3 dalam 1 Ipoh White Coffee Original, Chek Hup 3 dalam 1 Ipoh White Coffee Rich, Chek Hup 3 dalam 1 Kopi Putih Ipoh Kurang Manis, Chek Hup 2 dalam 1 Ipoh White Coffee – Coffee & Creamer, Chek Hup Kopi Tarik dan Chek Hup Cham Tarik.
“Antara lokasi pelancongan yang dipaparkan pada bungkusan produk kami ialah Kellie’s Castle di Batu Gajah, Istana Iskandariah di Kuala Kangsar dan sebagainya,” katanya.
Menurut Joseph, pihaknya yakin cara itu secara langsung dapat mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024 kerana sudah lebih 20 tahun berada dalam pasaran.
“Kita juga telah memasarkan produk di 15 buah negara antaranya Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat dan banyak lagi,” katanya. – UTUSAN










