KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Derivatives Berhad melancarkan kontrak niaga hadapan mata wang pertama, ‘Mini USD/CNH Futures’ (FCNH) bagi membantu mengurangkan risiko kredit rakan niaga, serta menyediakan pasaran yang telus, terkawal dan mudah diakses.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pelancaran FCNH menjadi kontrak hadapan mata wang dagangan tukaran sulung negara iaitu satu kemajuan penting dalam perkembangan pasaran modal Malaysia.
“Bursa Malaysia komited terhadap pengembangan pasaran dan kemajuan diperkuatkan melalui penyelesaian inovatif dan perkongsian strategik.
“FCNH melengkapkan pasaran mata wang sedia ada yang dikendalikan oleh institusi kewangan Malaysia.,” katanya ketika majlis pelancaran kontrak hadapan pertama Bursa Malaysia di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden Hong Kong Exchanges and Clearing (HKEX), Narendra Hegde.
Mini FCNH yang menjadi kontrak hadapan mata wang pertama, dilancarkan menerusi perjanjian perlesenan dengan HKEX.
Muhamad Umar berkata, FCNH menyediakan akses telus dan dikawal selia kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan pemilik perniagaan yang berurusan dengan China serta mewujudkan peluang perdagangan baharu untuk lindung nilai risiko mata wang renminbi merentasi aset yang berbeza.
“RCNH juga boleh menarik peserta pasaran melindungi nilai terhadap naik turun mata wang, meningkatkan kecairan pasaran dan menggalakkan pertumbuhan ekosistem pasaran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pembangunan Perniagaan Asia Selatan dan Asia Barat HKEX, Narendra Hegde berkata, FCNH akan menyerlahkan hubungan erat antara China dan ASEAN.
“Perdagangan antara China dan ASEAN tumbuh pesat selama bertahun-tahun. Pelancaran ini diharapkan meningkatkan penggunaan produk renminbi di luar pesisir dan memperkuat kerjasama ekonomi kedua belah pihak,” ujarnya.-UTUSAN