IJM Land sekali lagi membuktikan kehebatannya sebagai pemaju hartanah dan pembangun perbandaran di Malaysia menerusi projek kediaman bertanah Avela di IJM Rimbayu.
Konsep di sebalik Avela diilhamkan daripada spesies burung dikenali Avila yang melambangkan perpaduan keluarga yang menetap di bawah satu bumbung merentasi generasi yang kini telah diterima dengan penuh semangat oleh seluruh penduduk dan masyarakat secara umumnya.
Terletak di tengah-tengah ‘pelukan’ alam semula jadi, ia telah menggabungkan aspek keharmonian antara kehidupan moden dan hubungan sesama manusia serta persekitaran yang dicetuskan dengan mendalam kepada penghuninya.
“Avela merupakan pembangunan berketumpatan rendah dengan hanya 445 unit kediaman ditawarkan dalam kawasan berpagar dan berpengawal. Di tengah-tengah kurangnya pembangunan bertanah di Lembah Klang, kewujudan Avela menjadi bukti kepada
keharmonian sebenar sebuah kediaman,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Ia terbukti apabila Fasa 17A dan 17B yang masing-masing terdiri daripada 164 dan 136 unit membabitkan kediaman jenis Garden Homes atau rumah bertaman (Jenis A) dan unit Link Homes atau teres dua tingkat (Jenis B), mendapat sambutan luar biasa daripada pembeli.
Permintaan ke atas unit Fasa 17A dan 17B melonjak melebihi 90 peratus, sekali gus membuktikan keunggulan IJM Rimbayu sebagai salah satu lokasi paling diingini di kawasan barat daya Lembah Klang. Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah
RM357 juta, projek ini dibangunkan secara harmoni dengan alam semula jadi.
Justeru, pelancaran Fasa 17C membabitkan penawaran eksklusif 145 Garden Homes (Jenis A), dijangka turut mendapat sambutan positif daripada pembeli. Dengan anggaran GDV sebanyak RM216 juta, fasa baharu ini menawarkan unit Garden Homes dua tingkat yang elegan berkeluasan 30’ x 70’ di mana ia tampil lebih luas dengan saiz 2,745 kaki persegi, manakala harganya pula bermula RM1,438,800 dan ke atas.
Menurut Pengurus Besar Kanan IJM Land, Chai Kian Soon, kewujudan Avela menjadi mercu tanda komitmen tidak berbelah bahagi IJM dalam setiap pembangunannya untuk masa depan yang lestari.
“Kadar pengambilan Fasa 17A dan 17B yang sangat memberangsangkan adalah bukti resonans terhadap konsep Avela. Ia menunjukkan permintaan yang semakin meningkat untuk kediaman mampan dan berpaksikan keluarga.
“Dedikasi Avela dalam menggalakkan aspek sihat dihari tua dan kehidupan merentasi generasi, yang hadir bersama-sama ruang kediaman yang luas, membuatkannya berbeza dengan projek pembangunan lain. Keluarga yang menghargai kehidupan berkomuniti, mahukan keselesaan dan kemudahan akan mendapati Avela sebagai pilihan yang tepat,” katanya.
Menurut IJM Land, Avela telah menerima anugerah penarafan Gangsa GBI (Indeks Bangunan Hijau) dalam kategori kediaman.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen IJM yang tidak berbelah bahagi terhadap kelestarian dan kebertanggungjawaban ke atas alam sekitar. Rekaan kediaman Avela sangat sesuai untuk kehidupan merentasi generasi dengan cirinya dapat memenuhi keperluan sesebuah keluarga yang tinggal bersama di bawah satu bumbung.
Avela menawarkan ruang dapur yang lebih besar, yang boleh disesuaikan dengan pilihan penghuni seperti dapur kering atau basah. Reka bentuknya menampilkan ruang bilik tidur mesra warga emas di tingkat bawah, lengkap dengan bilik mandi en-suite untuk semua bilik tidur yang direka untuk memenuhi keselesaan dan kemudahan.
Selain itu, bilik solek berasingan di tingkat bawah juga dapat meningkatkan kemudahan dan aspek privasi. Garden Homes turut memiliki taman seluas 8-kaki, di mana ciri ini dapat memastikan tahap keselesaan dapat dikecapi oleh generasi keluarga yang berbeza.
“Avela telah menyepadukan adunan IJM Rimbayu, dengan aspirasi kami adalah untuk menjadi lambang kepada kehidupan lestari dan kehidupan harmoni yang akan meningkatkan kesan berkekalan kepada generasi akan datang.
“Avela telah sedia berkembang menjadi kejiranan di mana penduduknya yang pelbagai, berkongsi nilai yang satu, serta memupuk perkembangan hubungan generasi yang harmoni dan makmur di kawasan Lembah Klang yang pesat membangun ini,” kata Kian Soon. – UTUSAN









