PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) semalam mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (TK2023).
Pendapatan itu lebih tinggi berbanding tahun lalu sebanyak 4.60 sen iaitu pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit.
Tahun lalu, ASNB turut mengumumkan bonus tambahan sebanyak 0.50 sen seunit untuk 30,000 unit pertama yang dipegang oleh setiap pemegang unit.
Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu dalam kenyataan berkata, jumlah tersebut terdiri daripada agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.
“Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM9.3 bilion ini akan memanfaatkan 10.8 juta pemegang unit ASB.
“ASB terus memberikan pengagihan pendapatan yang kompetitif, mengatasi penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank yang mencatatkan kadar purata sebanyak 2.85 peratus sepanjang tahun ini,” katanya.
Bilangan akaun ASB meningkat lebih 200,000 kepada 10.8 juta akaun, menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, PNB telah secara konsisten memberikan pulangan yang kompetitif melalui dana harga tetapnya, di sebalik keadaan pasaran yang sentiasa berubah-ubah.
Beliau justeru menggalakkan orang ramai agar terus menyimpan untuk jangka masa panjang dan masa depan yang terjamin.
“Tahun ini, kami menyaksikan peningkatan dalam bilangan akaun kepada 15.6 juta setakat Oktober 2023 (daripada 15.2 juta tahun lepas).
“Populariti berterusan produk unit amanah kami terbukti melalui kajian daripada 2023 RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) dengan produk ASNB mengekalkan kedudukan mereka sebagai pilihan pelaburan paling popular,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ASB telah mencatatkan prestasi yang kukuh, hasil daripada perumpukan aset dan strategi kepelbagaiannya.
“Beberapa urus niaga penting telah dilaksanakan untuk meningkatkan nilai bagi pemegang unit. ASB 3 terus menjadi pelaburan pilihan jutaan masyarakat Bumiputera dan terus memberikan pulangan yang konsisten, membentuk sebahagian daripada pelan simpanan untuk lebih 10.8 juta pelanggan.
“PNB terus menunjukkan daya tahannya dalam mengharungi ketidaktentuan 2023. Seiring melangkah ke tahun baharu dan melakarkan peluang baharu, kami akan meneruskan strategi pelaburan kami dan kekal teguh dalam komitmen untuk menyampaikan mandat kami,” ujarnya.
Melangkah ke 2024, beliau berkata, PNB akan terus menyokong agenda inovasi dan mengutamakan pendigitalan untuk menambah baik pengalaman pemegang unit, sambil memastikan Kumpulan berada di landasan yang betul dalam mencapai 10 Komitmen ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus).
PNB juga katanya, akan lebih aktif dalam memperjuangkan agenda celik kewangan untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.
“Antara inisiatif itu termasuk menawarkan Auto Labur, sebuah fungsi pelaburan berulang pada aplikasi myASNB, untuk meningkatkan tabiat menyimpan dan memperkenalkan ASNB Academy, sebuah instrumen celik kewangan yang boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia dengan fungsi sebagai hab pengetahuan dan pusat rujukan mengenai pelaburan serta perancangan kewangan,” katanya. – UTUSAN
INFO
Agihan pendapatan ASB (ASB)
——————————-
Tahun Agihan Pendapatan Bonus Bonus tambahan/ehsan
2022 3.35 1.25 0.50 bagi 30,000 unit pertama
2021 4.25 0.75 –
2020 4.25 – 0.75 bagi 30,000 unit pertama
2019 5.00 0.50 –
2018 6.50 0.50
2017 7.00 0.25 1.00 bagi 10,000 unit pertama
2016 6.75 0.50
2015 7.25 0.50
SUMBER: ASNB/PNB









