Untung bersih Matrix Concepts melonjak 26.6 peratus

Untung bersih Matrix Concepts melonjak 26.6 peratus

MOHAMAD Haslah Mohamad Amin (kanan) dan Timbalan Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) mencatatkan lonjakan dalam keuntungan bersih sebanyak 26.6 peratus kepada RM64.0 juta bagi suku kedua tahun kewa­ngan 2024, berakhir 30 September 2023 (2Q24).

Kumpulan mendapat manfaat daripada penormalan aktiviti pembinaan dengan hasil me­ningkat sebanyak 61.6 peratus kepada RM359.4 juta daripada RM222.4 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelum­nya

Syarikat itu berkata, pertumbuhan yang ketara itu didorong oleh prestasi teguh bahagian pembangunan hartanah yang menyaksikan peningkatan keta­ra 65.0 peratus dalam sumba­ngan hasil, berjumlah RM350.3 juta.

Jelasnya, pembangunan di Sendayan yang merupakan projek penting bahagian hartanah Kumpulan, menyumbang pendapatan RM340.5 juta, peningkatan ketara sebanyak 86.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Perbandaran Kumpulan yang lain iaitu Bandar Seri Impian di Kluang, Johor, merekodkan pendapatan sebanyak RM8.1 juta, susut 56.0 peratus, manakala pembangunan pertama Kumpulan di Lembah Klang, The Chambers, menyumbang sebanyak RM1.7 juta.

“Prestasi unit hartanah Kumpulan telah dilengkapkan dengan unit perniagaan lain iaitu bahagian pendidikan dan hospitaliti, menyumbang RM9.1 juta kepada hasil 2Q24. Unit-unit ini menca­tatkan penurunan sebanyak 9.0 peratus daripada tahun sebelum­nya, disebabkan pengurangan sumbangan bahagian hospitaliti, walaupun sedikit peningkatan hasil oleh bahagian pendidikan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, jualan harta­nah baharu kekal sebagai tum­puan utama Kumpulan dengan menyaksikan jualan sebanyak RM310.8 juta, menunjukkan selera pasaran yang kukuh dan berterusan untuk hartanah Kumpulan, dengan 94.8 peratus datang daripada pembangunan di Sendayan.

Sehingga 30 September 2023, jualan belum dibil Kumpulan berjumlah RM1.3 bilion.

Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, walaupun menghadapi cabaran Tahun Kewangan 2022 dan separuh pertama Tahun Kewangan 2023, Kumpulan tetap yakin dengan prospek prestasi, disokong oleh sambutan pasaran yang menggalakkan.

“Pendapatan penambahbaikan yang dicatatkan sepanjang lima suku kewangan yang lalu menekankan daya tahan kami dan komitmen pendekatan yang mampan terhadap strategi kami.

“Ini memberi kami doro­ngan untuk lebih optimistik pada pengembangan masa depan kami, termasuk kemajuan ke arah pembangunan perbandaran kami yang akan datang di Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV2.0) di Negeri Sembilan,” katanya.

Pada 14 November lalu, Kumpulan telah memperoleh kemudahan pembiayaan RM512 juta untuk membiayai pengambilan tanah 1,382.2 ekar di MVV2.0 di Negeri Sembilan serta permulaan kos pembangunan terma­suk keperluan infrastruktur.

Pada separuh pertama berakhir 30 September 2023 (1H 2024), keuntungan bersih Kumpulan meningkat 31.8 peratus kepada RM128.6 juta daripada RM97.6 juta sebelumnya, dengan hasil 53.0 peratus lebih tinggi sebanyak RM690.8 juta daripada RM451.6 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pertumbuhan hasil yang membanggakan sejajar dengan peningkatan 55.5 peratus dalam bahagian pembangunan hartanah Kumpulan kepada RM671.5 juta berbanding RM431.7 juta, didorong oleh sumbangan kukuh daripada perbandaran di Sendayan dan aktiviti pembinaan lain.

Jualan hartanah baharu Kumpulan pada 1H 2024 kekal sihat pada RM616.1 juta berbanding RM661.9 juta sebelum ini.

Mohamad Haslah berkata, pencapaian Kumpulan memberi petanda baik untuk pihak berkepentingan kerana Kumpulan kekal komited untuk memberikan nilai luar biasa sambil mematuhi amalan mampan, pembangunan komuniti, dan meningkatkan pulangan pemegang saham.

“Ini jelas digambarkan dalam pembayaran dividen Kumpulan pada 1H 2024, meningkat sebanyak 25 peratus berbanding tahun lepas,” katanya.

Kumpulan mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 2.5 sen sesaham. Dividen kumulatif 1H 2024 sesaham berjumlah 5.0 sen dengan jumlah pembayaran sebanyak RM62.6 juta atau 49.3 peratus daripada keuntungan selepas cukai 1H 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN