Sijil halal ubah persepsi terhadap kesucian produk

Sijil halal ubah persepsi terhadap kesucian produk

NORAZIELLA Harun menunjukkan sebahagian produk berasaskan roselle yang memiliki sijil halal keluaran Jakim di Kuala Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang usahawan produk berasaskan roselle bernekad memohon sijil halal untuk menyakinkan pelanggannya selepas produk keluarannya dilabel sebagai produk yang berasal dari China.

Pengurus Operasi Zierich Resources, Noraziella Harun berkata, sijil halal keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tersebut banyak membantunya mengubah persepsi pengguna terhadap kesucian produk keluaran syarikatnya itu.

Malah katanya, produk keluaran syarikatnya itu juga semakin mendapat tempat di hati pengguna setelah menerima pengesahan sijil halal tersebut pada tahun 2020.

“Masa mula-mula syarikat saya beroperasi pada tahun 2016, ramai yang menyangka ia adalah produk dari luar negara iaitu berasal dari China.

“Namun setelah diberi penerangan, barulah mereka yakin bahawa produk berasaskan tumbuhan roselle itu dikeluarkan oleh syarikat tempatan dan mula menjadi pelanggan tetap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Antara produk keluaran Zierich Resources ialah jus minuman, kordial, pati tanpa gula, halwa, jem dan teh yang kesemuanya dihasilkan daripada Roselle.

Selain sijil halal daripada Jakim, syarikat itu turut mempunyai Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dari Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menambah keyakinan pengguna mengenai aspek kebersihan dan kualiti produk.

Ditanya apakah kelebihan yang diperoleh setelah produknya disahkan halal, beliau berkata, syarikat semakin banyak mendapat pelawaan dari jabatan dan agensi kerajaan untuk menyertai pameran dan ekspo perniagaan.

“Alhamdulillah, selepas dapat sijil halal dari Jakim, kami semakin berani untuk masuk ke pasaran yang lebih besar kerana tiada lagi keraguan dari segi kualiti produk,” ujarnya.

Menurutnya, syarikat sangat menitikberatkan rangkaian produk makanan dan minuman halal untuk pengguna demi menepati kehendak syariat serta memenuhi tuntutan amalan kesihatan dan kebersihan yang dikehendaki jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

“Produk keluaran kami juga mempunyai kandungan nutrisi yang tinggi dan kami berasa terpanggil untuk menyediakan rangkaian produk halal dan thoyyiban kerana ia adalah fitrah naluri manusia untuk mencari produk yang terbaik digunakan dalam kehidupan harian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×