PETALING JAYA: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, apabila berlaku pembetulan teknikal berikutan `rali’ yang besar dalam tempoh tiga hari dagangan lepas, kata penganalisis.
Pada pukul 9.05 pagi, ringgit menyusut kepada 4.6550/6600 berbanding dolar daripada kadar penutup 4.6340/6400 semalam, memetik laporan Bernama.
Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI, Stephen Innes berkata, hasil Amerika Syarikat (AS) telah menaik dan memperkenalkan elemen pembetulan kecil kepada keyakinan yang tidak putus ditunjukkan oleh pelabur ringgit berikutan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu lepas.
Kata beliau, keadaan itu menyebabkan berlaku pembetulan yang lebih tinggi pada dolar AS/ringgit (dengan ringgit yang lebih lemah) hari ini, selepas mengalami rali yang besar dalam tiga sesi dagangan terakhir.
“Ini bukan sesuatu yang luar biasa selepas pergerakan besar berlaku, kerana pasaran berhenti seketika untuk mencermin dan memutuskan hala tuju jangka pendek seterusnya, terutama menjelang pembentangan oleh anggota Rizab Persekutuan (Fed) dan lelongan bon AS dijadualkan minggu ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, hasil Perbendaharaan AS untuk dua tahun dan 10 tahun menyaksikan lantunan semula semalam, meningkat sebanyak 10 dan lapan mata asas untuk ditutup masing-masing pada 4.94 peratus dan 4.65 peratus, manakala indeks dolar AS meningkat sebanyak 0.25 peratus kepada 105.281 mata.
Beliau berkata, ia telah menjadi mod risiko untuk pasaran sejak Fed mengubah sedikit nadanya dalam mesyuarat FOMC baru-baru ini dan gaji bukan ladang yang lebih rendah daripada jangkaan minggu lepas.
“Mungkin ada sedikit pembetulan hari ini, berikutan peningkatan mendadak semalam. Tahap sokongan dan rintangan semasa untuk dolar AS/ringgit terletak masing-masing pada 4.5578 dan 4.6611. Oleh itu, ringgit mungkin kekal sekitar 4.63 hingga 4.65 hari ini,” katanya.
Sementara itu, mata wang tempatan lebih tinggi sedikit berbanding pound British kepada 5.7424/7486 daripada 5.7462/7536 pada penutup Isnin, tetapi didagangkan lebih rendah berbanding mata wang utama lain, seperti yen Jepun dan euro.
Ia jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.1021/1056 daripada 3.0959/1002 pada penutup semalam, dan lemah berbanding euro kepada 4.9850/9904 daripada 4.9806/9871 sebelumnya.
Nota tempatan itu juga didagangkan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN yang lain.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4430/4470 daripada 3.4341/4388 pada akhir dagangan semalam, dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 299.5/300.0 daripada 298.1/298.7.
Ringgit juga susut berbanding baht Thailand kepada 13.0887/1090 daripada 13.0521/0741 dan menyusut berbanding peso Filipina kepada 8.30/8.32 daripada 8.29/8.30 sebelumnya. – UTUSAN










