PETALING JAYA: Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini, berikutan kitaran kenaikan kadar faedah AS disifatkan akan berakhir untuk tahun ini, sekaligus mengurangkan sentimen risiko, kata penganalisis.
Pada pukul 9.05 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.6750/6810 berbanding dolar AS, daripada penutup Jumaat lalu pada 4.7265/7320.
Memetik laporan Bernama, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar faedah AS menghampiri kemuncak kitaran, sebahagiannya didorong oleh laporan senarai gaji bukan ladang (NFP) yang lebih lemah daripada jangkaan.
Beliau berkata, laporan NEP yang merupakan pengukur bagi jumlah pewujudan pekerjaan di AS, meningkat pada kadar yang lebih perlahan kepada 150,000 pada Oktober, menunjukkan kitaran kenaikan kadar faedah semakin hampir tamat.
“Penurunan kadar berhenti daripada setinggi 3.0 peratus pada April 2022 kepada 2.3 peratus pada September 2023, menunjukkan keyakinan pekerja terhadap pasaran buruh telah menjadi lemah, mungkin kerana mereka tidak memperoleh pekerjaan baharu jika mereka meletakkan jawatan secara sukarela,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menjangka mata wang tempatan meningkat minggu ini selepas berada dalam kedudukan terlebih jual untuk beberapa lama, dan berkemungkinan menunjukkan arah aliran positif pada hari ini.
Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali pound Britain, di mana ia susut kepada 5.7816/7890 daripada 5.7734/7801 pada penutup Jumaat.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1260/1303 daripada 3.1445/1484, dan mengukuh berbanding euro kepada 5.0135/0199 daripada 5.0318/0377 sebelumnya.
Ringgit juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.
Ia bertambah baik berbanding dolar Singapura kepada 3.4553/4600 daripada 3.4713/4756 Jumaat lepas, dan melebar berbanding rupiah Indonesia kepada 297.2/297.7 daripada 300.5/300.9.
Ringgit juga meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1861/2097 daripada 13.2332/2553 sebelumnya, dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.37/8.39 daripada 8.42/8.44.
Sementara itu, Reuters melaporkan, mata wang utama global stabil pada dagangan awal hari ini dan bersedia untuk melanjutkan aliran menaik minggu lalu apabila dolar menyusut selepas Rizab Persekutuan (Fed) menghentikan `hawkish’ mengenai kadar faedah.
Menurutnya, indeks dolar tidak berubah pada 105.11, dengan euro pada AS$1.0726. Indeks dolar merosot lebih daripada 1 peratus minggu lepas, kejatuhan paling teruk sejak pertengahan Julai dan mencecah paras terendah dalam tempoh enam minggu.
Saham-saham dunia juga dilaporkan mempunyai minggu paling kukuh dalam setahun kerana jangkaan semakin kukuh bahawa kenaikan kadar faedah oleh Fed telah berakhir buat masa ini.
Penunjuk lain seperti kelemahan dalam data pekerjaan AS, dan penurunan dalam hasil Perbendaharaan juga menjejaskan dolar. Kejatuhan dolar turut didorong oleh rali dalam sterling dan dolar Aussie. Kelemahan dolar turut menyebabkan yen turut melantun semula. – UTUSAN










