PETALING JAYA: Pembuat kereta nasional, Proton melancarkan model baharunya S70 dalam barisan pengeluarannya di Tanjong Malim, Perak.
S70 merupakan model sedan baharu yang pertama ditambah ke barisan model Proton semenjak pelancaran Persona pada Ogos 2016.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, selain nama rasmi model, tagline bagi S70 telah diumumkan sebagai ‘Intelligence that Evolves’.
Beliau mengesahkan bahawa semua cawangan Proton akan mula menerima tempahan dari pelanggan mulai 1 November 2023, dengan bayaran sebanyak RM500.
“S70 mencatatkan bab baharu bagi Proton kerana kami kembali ke pasaran sedan keluarga dengan model yang merupakan evolusi seterusnya bagi model sedan kami.
“Dilengkapi dengan teknologi keselamatan pintar, pautan dan enjin turbo berkapasiti 1.5L dengan transmisi kopeling dua, kami mempunyai harapan tinggi bahawa ia akan menjadi popular dalam kalangan peminat Proton sedia ada dan baharu.
“Selain itu, ia juga membantu kami kembali ke puncak segmen pasaran yang sebelum ini dipimpin oleh model seperti Wira, Waja, dan Prevé,” katanya dalam kenyataan.
Majlis pelancaran S70 tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Perindustrian (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob.
Menyusul jejak X70, X50, dan X90 hibrid ringan, S70 akan menjadi model Proton baharu keempat yang dibangunkan bersama Geely.
Ia juga merupakan model baharu kedua yang ditawarkan pada 2023.
Sebelum pelancaran rasmi, pra-tinjauan pelanggan akan diadakan di beberapa ibu negeri utama bermula 11 November 2023 untuk membolehkan orang ramai melihat lebih dekat dan peribadi model berkenaan.
Chunrong berkata, upacara penyerahan tersebut satu lagi langkah penting bagi Proton dalam usahanya bersama DRB-HICOM dan Geely,menjadikan Tanjong Malim dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) sebagai hab automotif kebangsaan..
Sejak 2019, Syarikat telah melabur lebih RM1.8 bilion bagi menaiktaraf kemudahan di sini dengan membina garisan perakitan enjin baharu, bengkel hentakan panel baharu, serta barisan
perakitan baharu.
“Ini memberi harapan yang baik untuk masa depan Syarikat, kerana kami berhasrat untuk mengembangkan rangkaian penawaran merangkumi lebih banyak kenderaan tenaga baharu (NEV) dan kenderaan elektrik.” tambahnya. – UTUSAN










