IPOH: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Perak terus disediakan jaringan ke pasaran antarabangsa melalui kerjasama antara Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) dengan penyedia perkhidmatan teknologi berpangkalan di Amerika Syarikat, Nityo.
Melalui memorandum persefahaman (MoU), kedua-dua pihak akan mentransformasikan aplikasi S.M.A.R.T Niaga@Perak yang telah dibangunkan oleh Digital Perak kepada satu platform e-dagang lengkap di negeri itu.
Nityo Infotech Services Sdn. Bhd. (Nityo) akan membimbing dan melaksanakan orientasi (onboarding) untuk 200 PKS dalam platform tersebut tanpa kos kepada kerajaan negeri serta PKS.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penggunaan platform e-dagang Shopmatic yang disediakan oleh Nityo bakal melonjakkan usahawan ke tahap lebih tinggi dan berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.
Katanya, usaha itu sejajar dengan agenda Perak Sejahtera 2030 di bawah program Ekonomi Digital.
“Inisiatif ini mempercepatkan ketersediaan Perak mengadaptasi teknologi yang mendorong pertumbuhan inovasi baharu dan membuka ruang untuk agensi kerajaan, pihak swasta dan usahawan mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Digital Perak dengan Nityo di sini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir; Pengurus Negara Nityo, Rajasekhar Gummadi dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd. Azlan Helmi.
Mohamad Suhaimi dalam pada itu berkata, kerjasama tersebut akan mengintegrasikan S.M.A.R.T Niaga@Perak kepada satu platform e-dagang yang membolehkan transaksi jual beli atas talian, termasuk pembayaran dan logistik.
“Saya harap secepat mungkin kita boleh diperluaskan kepada beribu lagi PKS. Dalam pangkalan data kami ada berpuluh ribu PKS, yang aktif mungkin kurang 10,000, kita hendak galakkan mereka kepada pendigitalan dan e-dagang,” katanya. – UTUSAN










