Pengurusan harta pusaka masih di tahap rendah

Pengurusan harta pusaka masih di tahap rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGURUSAN harta pusaka sering menjadi isu sensitif terhadap masyarakat terutama melibatkan masa, wang ringgit dan tenaga.

Ia susulan proses tuntutan harta pusaka mengambil masa yang lama bagi mereka yang tidak membuat wasiat semasa hidup. Jadi, proses yang perlu dilalui agak panjang bagi membolehkan harta pusaka dapat dibahagikan secara adil dan mengikut faraid.

Harta pusaka ialah harta peninggalan si mati yang mengandungi harta alih dan harta tak alih. Harta seperti wang tunai, syer, caruman KWSP, wang imbuhan insurans, kenderaan, perabot rumah, pakaian dan sebagainya dipanggil harta alih.

Harta seperti tanah serta kepentingan atas tanah tersebut, rumah, lombong, sawah, telaga dan tasik pula disebut sebagai harta tak alih

Walaupun pelbagai promosi diadakan secara fizikal mahupun secara dalam talian, masih ramai yang tidak mengambil tahu atau sedar mengenai pentingnya melaksanakan perancangan pusaka supaya harta yang kita kumpul semasa hidup dapat diwariskan kepada individu yang layak menerimanya.

Bagaimanapun, perkara itu akan dipandang serius apabila terdapat dalam kalangan ahli keluarga yang menjadi sumber pendapatan utama, meninggal dunia secara mengejut sehingga menyukarkan pembahagian harta kepada waris.

Justeru, pengurusan dan perancangan harta pusaka perlu dibuat lebih awal atau ketika muda dan masih sihat bagi memastikan pembahagian harta dapat diberikan dengan sempurna.

Amanah Raya Berhad (Amanah Raya) menjelaskan, tahap kesedaran yang masih rendah dalam melakukan perancangan terhadap aset atau harta yang bakal diwariskan kepada generasi akan datang antara faktor penyebab urusan pindah milik mengalami kesukaran.

AHMAD FEIZAL SULAIMAN KHAN

Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata, peratusan yang agak rendah berikutan kurang kesedaran terdapat isu ini.

“Pihak Amanah Raya dalam proses untuk meningkatkan lagi kesedaran dan aktiviti harus diteruskan. Berkemungkinan aktiviti (promosi) perlu lebih menyeluruh lagi agar masyarakat lebih peka.

“Ia agak rendah kerana hanya lebih kurang 25 peratus daripada 6 juta penduduk Malaysia iaitu kira-kira 1.5 juta sahaja telah membuat perancangan awal seperti menulis Wasiat. Apabila kematian berlaku hanya tiga agensi sahaja mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Surat Kuasa iaitu Amanah Raya, Mahkamah Tinggi dan Pejabat Tanah dan Galian.

“Setakat ini, ‘market share’ bagi Pentadbiran Pusaka adalah lebih kurang 17 peratus AmanahRaya, 18 peratus Mahkamah Tinggi manakala selebihnya adalah melibatkan Pejabat Tanah dan Galian,” katanya ketika Utusan Malaysia ditemui di ibu pejabatnya baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, sikap bertangguh turut menjadi punca menjadi kesukaran kepada waris-waris si mati apabila menguruskan pusaka berkenaan.

“Hanya 1.5 juta rakyat Malaysia sedar mengenai (wasiat) ini. Jadi, di pihak AmanahRaya kita sedang menyusun pelbagai infrastruktur untuk menelusuri nadi rakyat dengan lebih cekap.

“Antaranya memperkenalkan portal online dan membuka pautan di laman sesawang Amanah Raya untuk melaksanakan Wasiat, Amanah dan Pusaka, membangunkan sebuah aplikasi yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan yang mampu memberi kemudahan kepada masyarakat untuk membuat persediaan awal seperti menulis Wasiat agar pentadbiran harta pusaka boleh dilaksanakan dengan lebih mudah apabila meninggal dunia kelak,” katanya.

Ahmad Feizal menjelaskan apabila ada seseorang melantik kami (Amanah Raya) untuk sebagai pentadbir untuk mengagihkan pusaka simati, kami akan melaksanakan pengagihan kepada waris-waris yang terlibat mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Bagaimanapun, terdapat juga dana yang diletakkan di Amanah Raya secara ‘Involuntary’. Contohnya melalui perintah Mahkamah atau wang pampasan di mana kerajaan telah membayar wang tersebut kepada pemilik tanah tersebut namun, pemilik telah meninggal dunia dan penerima tidak dapat dikesan sehingga memerlukan pihak Amanah Raya untuk membantu perkara itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×