Malaysia Techlympics 2023 rekod 1.8 juta penyertaan

Malaysia Techlympics 2023 rekod 1.8 juta penyertaan

CHANG Lih Kang pada majlis perasmian Karnival Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Akhir Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia Techlympics 2023 berjaya merekodkan sebanyak 1.8 juta penyertaan dari seluruh negara sejak dilancarkan pada Mei lalu, sekali gus melepasi sasaran ditetapkan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, inisiatif itu menekankan objektif membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi.

Menurutnya, melalui program tersebut pelbagai pertandingan berteraskan teknologi sohor seperti kecerdasan buatan, internet kebendaan, dron, pengekodan dan robotik dipertandingan di peringkat negeri, zon dan kebangsaan melibatkan penyertaan  pelajar dan belia berusia tujuh hingga 30 tahun.

“Program Keterangkuman Malaysia Techlympics 2023 melaksanakan sebanyak 50 program jangkauan keterangkuman yang melibatkan pelbagai lokasi dan menyasarkan penyertaan murid luar bandar.

“Hasil dari inisiatif tersebut sebanyak enam buah pasukan melibatkan sekolah murid orang asli dan orang asal telah layak ke peringkat akhir kebangsaan iaitu pasukan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tangap, SK Batu Niah dan SK Batu Bungan dari Sarawak, SK Pos Bersih (Perak), SK Kampong Layau (Johor) dan SK Siong (Kedah).

“Penganjuran kali ini turut memberi peluang kepada pelajar yang berjaya untuk mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa membabitkan pasukan dari SMK King George V, Negeri Sembilan dan MRSM Bentong, Pahang ke Global Game Exhibition G-Star, Korea Selatan pada 16 hingga 17 November lalu,” katanya.

Lih Kang berucap pada majlis perasmian Karnival Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Akhir Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Pada peringkat zon akhir kebangsaan hari ini, lebih 5,000 peserta dari 1,200 pasukan berkumpul bagi merebut 48 pingat emas dalam pelbagai kategori pertandingan dengan nilai hadiah terkumpul berjumlah RM351,000.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MOSTI percaya  pembudayaan sains, teknologi, inovasi (STI) tidak terhad kepada pendidikan secara formal di dalam kelas atau bilik darjah sahaja, malah inisiatif yang dirangka turut melibatkan kesemua golongan sasar, baik pelajar bandar mahupun luar bandar serta golongan kurang upaya.

“MOSTI komited menyusun dan menyelaras pelaksanaan Program Perdana Pembudayaan STI iaitu Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics melalui pendekatan ‘hands-on’ dan tidak formal serta kaedah ‘experiential learning’ dan pertandingan yang melibatkan pelajar dan belia di semua peringkat.

“Kedua-dua inisiatif ini bertujuan memupuk dan meningkatkan minat terhadap STI, mencungkil bakat dan daya kreativiti untuk menggalakkan penghasilan idea inovasi berteraskan teknologi terkini,” ujarnya.

Pada 13 Februari lalu, media melaporkan penganjuran Malaysia Techlympics 2022 melakar sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) menerusi kategori ‘Penyertaan Pelajar Terbesar Dalam Pertandingan Sains, Teknologi dan Inovasi’ dengan pendaftaran seramai 1.03 juta peserta.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN