PETALING JAYA: Jenayah siber meningkat sebanyak 44.3 peratus kepada 577 kes tahun lalu daripada 400 kes dalam tempoh sama 2021, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pada tempoh sama, jenayah indeks dan jenayah komersial masing-masing menurun sebanyak 4.1 peratus dan 3.0 peratus kepada 50,813 kes dan 30,536 kes.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, jenayah indeks merangkumi jenayah kekerasan dan harta benda, masing-masing menunjukkan penurunan 10.0 peratus dan 2.4 peratus kepada 10,348 kes dan 40,465 kes.
“Kesemua jenis kesalahan di bawah jenayah komersial pada 2022 yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia menurun kecuali kesalahan berkaitan wang palsu dan jenayah siber.
“Kesalahan tipu merekodkan bilangan tertinggi iaitu 27,247 kes (89.2%) diikuti pecah amanah (911 kes; 3.0%) dan kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (832 kes; 2.7%),” katanya dalam laporan Statistik Jenayah Malaysia 2023.
Laporan memuatkan sembilan statistik jenayah terpilih iaitu Jenayah Indeks, Jenayah Keganasan & Seksual, Dadah, Rasuah, Pematuhan Alam Sekitar, Kesalahan Trafik, Jenayah Komersial, Jenayah Maritim dan Fasiliti Pemulihan bagi 2020 hingga 2022.
Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, kes berkaitan dadah meliputi membekal, memiliki dan positi ujian urin menunjukkan peningkatan sebanyak 30.6 peratus kepada 141,289 kes pada 2022.
Menurut beliau, kesalahan membekal meningkat sebanyak 18.0 peratus, memiliki (naik 35.1 peratus) dan positif ujian urin (meningkat 31.2 peratus) berbanding 2021.
“Bilangan tangkapan berkaitan kes dadah pula meningkat 26.3 peratus kepada 163,697 tangkapan pada 2022 seperti yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia,” jelas beliau. – UTUSAN










