PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) yang mengukur harga pengeluar bagi sektor perkhidmatan di Malaysia, meningkat 1.4 peratus pada suku ketiga 2023 kepada 115.4 mata daripada 113.8 mata tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, semua subsektor merekodkan peningkatan pada suku dilaporkan kecuali indeks Maklumat da Komunikasi yang kekal tidak berubah.
Kata beliau, Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman meningkat 4.6 peratus (ST2 2023: 6.3 peratus) disebabkan peningkatan dalam Restoran dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan Bergerak (5.2 peratus) dan Pengangkutan merekodkan peningkatan marginal 0.7 peratus (ST2 2023: 4.8 peratus) disebabkan oleh Pengangkutan Udara (1.5 peratus).
“Pada masa yang sama, subsektor lain yang merekodkan kenaikan adalah Pendidikan (1.0 peratus), Kesenian, Hiburan & Rekreasi (0.8 peratus) dan Profesional (0.4 peratus). Sementara itu, indeks Aktiviti Hartanah dan Kesihatan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, perbandingan suku tahun ke suku tahun menunjukkan IHPRP meningkat 0.4 peratus berbanding 0.2 peratus yang dilaporkan pada suku tahun sebelumnya.
Ia disebabkan kenaikan terutamanya dalam indeks Kesenian, Hiburan dan Rekreasi sebanyak 3.0 peratus; Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan dan Minuman (0.9 peratus), Pendidikan (0.3 peratus) dan Aktiviti Hartanah (0.2 peratus).
“Manakala indeks Pengangkutan, Profesional, Kesihatan dan Maklumat & Komunikasi kekal tidak berubah,” katanya. – UTUSAN










