Dasar Gaji Progresif sangat penting

Dasar Gaji Progresif sangat penting

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PELAKSANAAN Dasar Gaji Progresif merupakan antara langkah paling signifikan oleh kerajaan perpaduan Madani setelah setahun dibentuk.

Pembentangan dasar itu di Parlimen pada 30 November ini, adalah penting untuk menyelesaikan kemelut kos sara hidup daripada aspek gaji pekerja, setelah sekian lama tertumpu berkenaan kawalan harga barang.

Langkah turun dan kawal harga barang tidak mampu berpanjangan lebih-lebih lagi jika barangan itu adalah diimport melibatkan dolar asing, selain melanggar lumrah permintaan serta penawaran.

Pasaran buruh di Malaysia hari ini agak buruk baik. Langkah kerajaan melaksanakan Gaji Minimum RM1,500 sebulan bermula tahun 2022 pun, masih ada lompong yang membolehkan majikan membayar pekerja pada kadar rendah.

Disebabkan gaji minimum RM1,500, wujud situasi semua pekerja dalam organisasi baik kerani atau pengurus diberikan gaji pokok RM1,500 sebulan dan hanya berbeza dari segi nilai elaun sahaja.

Oleh itu tidak pelik mendengar graduan tiada pilihan terpaksa menerima gaji rendah. Kalau tidak setuju, diminta cari kerja lain.

Apapun, pelaksanaan gaji progresif merupakan kad terbaik yang dimiliki oleh kerajaan. Selain skala panduan kenaikan upah, dasar itu juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

Kebergantungan pekerja asing dalam industri seperti pengawal keselamatan, perkilangan atau perladangan adalah disebabkan rakyat tempatan tidak berminat kerja tersebut kerana bayaran rendah untuk tempoh bekerja yang panjang.

Realiti berlaku di Malaysia, ada pengawal keselamatan menerima bayaran antara RM1,700 hingga RM2,500 sebulan untuk bekerja enam atau tujuh hari seminggu, selama 12 jam sehari.

Singapura melaksanakan Dasar Gaji Progresif tertumpu kepada segmen pekerjaan tertentu terlebih dahulu seperti pembersihan dan kawalan keselamatan yang tidak diminati oleh rakyat tempatan sepertimana di Malaysia.

Pelaksanaan dasar upah dibuat melibatkan kerjasama pihak berkepentingan dengan penetapan ada kenaikan gaji mengikut tempoh, bergantung kepada pelbagai faktor dan melalui semakan berkala.

Seandainya, dasar gaji ini benar-benar dilaksanakan di Malaysia, ia akan memulihkan pasaran buruh dan rakyat lebih yakin terhadap pekerjaan masing-masing untuk kelangsungan hidup.

Para majikan harus dipantau dengan baik dan sehingga ke satu tahap, diberikan insentif bagi menjayakan Dasar Gaji Progresif. Perniagaan yang mendapat kontrak kerajaan, tiada alasan untuk tidak patuh kepada langkah ini.

Berdasarkan pelaksanaan di tempat lain, dasar itu berjaya mengalihkan beberapa negara beralih menjadi ekonomi berpendapatan tinggi serta mencapai kemajuan produktiviti. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×