PETALING JAYA: Agrocloud Sdn Bhd, anak syarikat Key Alliance Group Bhd., iaitu penyedia teknologi perkhidmatan awan bersepadu mengumumkan kerjasama penting dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan KDDI, sebuah syarikat telekomunikasi global, untuk menyahkarbonkan penanaman padi Malaysia.
Projek ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan bertujuan memperkenalkan metodologi baharu dalam penanaman padi huluan yang terbukti dapat mengurangkan pembebasan metana daripada sawah padi terendam.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan NCIA dan KDDI dalam projek penting ini,” kata Pengarah Urusan Agrocloud Sdn. Bhd.. Vishnu Nair.
Katanya, menyahkarbon penanaman padi Malaysia adalah langkah kritikal dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara.
“Projek ini bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, tetapi akhirnya menambah pendapatan petani padi,” katanya.
Projek ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan teknologi dan amalan baharu yang boleh mengurangkan pelepasan metana daripada sawah padi.
Ia termasuk penggunaan teknik alternatif pembasahan dan pengeringan (AWD), padi benih terus (DSR), penggunaan biochar, dan pengenalan varieti baharu padi yang kurang intensif metana.
KDDI akan memainkan peranan sebagai penasihat dalam projek itu dan juga akan menyediakan kepakaran teknikal dalam pembangunan alatan perisian yang akan diperlukan apabila projek itu diperluaskan di seluruh Malaysia dan serantau.
“Kami komited untuk menyokong peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon,” kata Pengarah Urusan KDDI Malaysia Sdn. Bhd., Masaki Matsuura.
Katanya, projek itu adalah peluang berharga untuk menunjukkan potensi teknologi untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada industri pertanian.
Projek itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan. Apabila berjaya disiapkan, ia akan memulakan proses penukaran penanaman padi Malaysia ke laluan penyahkarbonan. ini
akan mewujudkan aliran pendapatan baharu untuk pesawah melalui penjualan kredit karbon. – UTUSAN










