PETALING JAYA: Sunway Construction Group Bhd. (SunCon) dan Kajima (M) Sdn. Bhd. sebagai rakan kerjasama meraih kontrak RM595.38 juta bagi mereka dan membina pusat gudang pengedaran untuk Daiso Malaysia Group Sdn. Bhd. di Pulau Indah, Selangor.
Syarikat kerjasama yang dikenali sebagai Kajima-SunCon akan melaksanakan projek Daiso Global Distribution Center Warehouse.
Projek itu dijangka mengambil masa kira-kira 34.5 bulan untuk disiapkan dengan tarikh disiapkan disasarkan pada suku kedua 2026.
Anak syarikat SunCon, Sunway Construction Sdn. Bhd. (SCSB), akan memperinci perjanjian usaha sama itu dengan Kajima dengan kedua-dua syarikat menguasai ekuiti sama dan Kajima menerajui usaha sama itu.
Sementara itu dalam perkembangan lain, SunCon berkata, SCSB juga telah menerima surat niat bagi cadangan pembangunan pusat data dengan nilai kontrak keseluruhan sebanyak RM190 juta.
SunCon berkata, tawaran itu diterima daripada K2 Strategic Infrastructure Malaysia Sdn. Bhd. Projek itu dijangka mengambil masa kira-kira 14 bulan dengan sasaran suku keempat 2024.
Dalam perkembangan berasingan, anak syarikat Vestland Berhad, Vestland Resources Sdn. Bhd., memperoleh dua kontrak untuk mereka dan membina dengan nilai keseluruhan RM116.1 juta.
Kontrak itu diterima daripada Derrida (M) Sdn. Bhd. (RM53 juta) dan Sg. Besi Construction Sdn. Bhd. (RM63.1 juta).
Pada 2023, Vestland telah memperoleh kontrak bernilai RM783.7 juta, menjadikan nilai kontrak keseluruhan yang belum dilaksanakan bernilai RM1.8 bilion.
Ia adalah kejayaan besar kepada syarikat yang disenaraikan di pasaran ACE pada Januari tahun ini.
Syarikat berkata, kejayaan didorong fokus strategik kepada segmen reka dan bina yang menyumbang 50 hingga 60 peratus daripada keseluruhan pendapatan.
Syarikat juga telah melebarkan kehadirannya dengan kontrak pertama di Pulau Pinang. – UTUSAN










