ISU pemilikan rumah masih menjadi masalah utama kerana harga rumah yang semakin meningkat membuatkan rakyat makin sukar untuk memiliki kediaman sendiri.
Tidak dinafikan, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan namun masih belum dapat menangani masalah ini.
Hasilnya, ramai yang terpaksa menyewa selama berpuluh tahun sedangkan sewa bulanan yang dibayar itu sebenarnya membolehkan mereka membeli rumah sendiri.
Susulan itu, skim sewa-untuk-beli (RTO) yang pernah diusulkan dalam Belanjawan 2020 dan pernah dilaksanakan oleh beberapa pihak antaranya Maybank HouzKEY dan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dilihat sebagai satu alternatif membantu rakyat memiliki rumah tanpa tekanan kredit serta wajar diperluaskan.
Namun, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sekiranya kerajaan mahu memperkenalkan skim RTO, beliau berharap ia dilaksanakan oleh agensi kerajaan dan bukan ditawarkan oleh bank komersial.
“Skim yang ditawarkan bank komersial dilihat mempunyai ‘muslihat’ kerana pada akhirnya, penyewa perlu membuat pinjaman bank yang semestinya melibatkan riba’.
“Pada pandangan saya, sepatutnya skim ini ditawarkan oleh agensi kerajaan seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) atau melibatkan koperasi seperti yang dipraktikkan di Kanada.
“Kalau ketika tempoh sewa tamat dan penyewa tidak mahu meneruskan dengan pembelian, jadi penyewa itu akan bermula dari kosong semula dan perlu mencari rumah sewa lain serta menyediakan deposit dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 11 Oktober 2019, semasa Belanjawan 2020 diumumkan, salah satu rancangan belanjawan yang telah dikongsi oleh kerajaan ialah berkenaan pengenalan Skim RTO.
Pihak kerajaan bekerjasama dengan institusi kewangan di Malaysia dalam pelaksanaan skim ini, demi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk membayar deposit sebanyak 10 peratus, serta menjamin pembiayaan perumahan untuk rakyat pada kadar semasa.
Justeru, sebanyak 2.78 juta golongan B40 akan mendapat manfaat melalui skim ini dan mereka yang mencari hartanah boleh menyewa selama lima tahun sebelum diberi pilihan untuk membeli hartanah tersebut pada harga yang dipersetujui dalam kontrak sewa.

Sementara itu, Pengurus Besar MTD Properties, Daniel Yeap berkata, pihaknya menyambut baik usaha memperkenalkan skim RTO sebagai salah satu usaha memberikan pilihan kepada golongan yang kurang mampu untuk membeli hartanah secara terus.
Namun, jelasnya, pembeli perlu menjalankan kaji selidik atau rujukan terperinci dan memahami terma serta syarat perjanjian sebelum membuat sebarang keputusan.
“Pihak pemaju juga perlu menilai secara terperinci para pembeli untuk memastikan kemampuan mereka menyewa dan mungkin membeli unit atau rumah sebelum tamat tempoh penyewaan.
“Keputusan untuk memilih skim RTO ini merupakan pilihan peribadi. Adalah penting untuk menilai kebaikan dan keburukan setiap perjanjian dengan teliti sebelum membuat keputusan.
“Bagi MTD Properties, setiap produk yang dikeluarkan adalah mementingkan kualiti terbaik yang memenuhi cita rasa segmen pasaran tertentu selain memberikan tawaran yang mampu milik untuk golongan sasaran tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan juga dialu-alukan untuk mempertingkatkan kerjasama dengan pihak pemaju dalam pelbagai aspek agar dapat membina lebih banyak unit rumah mampu milik dan memudahkan lebih ramai pembeli yang layak mendapat pinjaman perumahan.
“Ini antara strategi dalam mengatasi masalah projek perumahan yang masih belum terjual,” ujarnya. – UTUSAN










