PETALING JAYA: Pasaran saham syarikat-syarikat berkaitan telur dan ayam meningkat dalam dagangan pagi semalam susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 bahawa kawalan harga sementara ke atas ayam dan telur akan ditarik balik.
Antara kaunter yang aktif ialah Lay Hong Bhd., meningkat 15.79 peratus atau 4.5 sen kepada 33 sen, diterjemahkan kepada permodalan pasaran kira-kira RM240.6 juta dengan 32.57 juta saham bertukar tangan.
Ia diikuti oleh Leong Hup International Bhd. yang meningkat 6.72 peratus atau empat sen kepada 59.5 sen dengan menilai syarikat itu pada RM2.29 bilion. Saham syarikat itu juga antara 20 saham aktif teratas dengan 17.33 juta saham didagangkan.
Saham TPC Plus Bhd. pula menokok 4.76 peratus atau 1.5 sen kepada 31.5 sen, diterjemahkan kepada permodalan pasaran RM102 juta, dengan 1.2 juta saham bertukar tangan. PWF Corp Bhd. naik 4.69 peratus atau tiga sen kepada 64 sen.
Sementara itu, saham LTKM Bhd. yang jatuh ke paras terendah 10 bulan selepas pengambilalihan terbalik bernilai RM336 juta dan perjanjian pelupusan perniagaan telur pada awal Oktober, meningkat 3.1 peratus atau empat sen kepada RM1.33.
Harga saham CAB Cakaran Corp Bhd. pula meningkat 1.56 peratus atau satu sen kepada 64 sen.
Teo Seng Capital Bhd. bagaimanapun tidak berubah pada RM1.34, manakala QL Resources Bhd. susut 0.54 peratus atau tiga sen kepada RM5.50
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 Jumaat lalu dilaporkan berkata, kawalan harga sementara bagi telur dan ayam yang ditetapkan sebelum ini akan ‘dilepaskan’ supaya pasaran tempatan boleh berfungsi dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan tersebut di pasaran.
Beliau berkata, pengumuman berkenaan langkah konkrit akan diperincikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam tempoh dua minggu ini.
“Sejak Februari 2022, soal subsidi telur dan ayam yang dulu hanya diperkenalkan semasa musim perayaan, tetapi sekarang berterusan dengan tanggungan kerajaan sejak itu ialah sebanyak RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam ini termasuk untuk golongan kaya dan orang asing.
“Sekarang kebetulan harga ayam dan telur mulai stabil dan oleh demikian kerajaan menimbang supaya diapungkan berdasarkan harga yang lebih rendah daripada harga apungan kerajaan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah berunding dengan pihak pengeluar dan memastikan tidak ada kenaikan yang tidak munasabah oleh syarikat dan peniaga,” kata beliau. – UTUSAN








