RM11.9 juta naik taraf LTAS

RM11.9 juta naik taraf LTAS

ONN HAFIZ GHAZI meletakkan tapak tangan pada skrin sebagai gimik perasmian Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Kulai, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), dekat sini yang menelan kos RM11.9 mampu meningkatkan kapasiti pengendalian lima juta penumpang setahun.

Pengerusi Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pembesaran Balai Berlepas LTAS yang bermula sejak Mac 2020 siap sepenuhnya pada Ogos lalu dan telah memperolehi Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

“Sebanyak RM11.9 juta diperuntukkan untuk membiayai projek yang meliputi 1,690 meter persegi menjadikan keluasan Balai Berlepas kepada 9,806 meter persegi,” katanya pada Majlis  Perasmian Pembesaran LTAS yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di sini , semalam.

Che Khalib berkata, Balai Berlepas baharu itu dilengkapi pelbagai kemudahan, antaranya lima pintu berlepas baharu, tempat duduk tambahan, lot kedai, sistem paparan maklumat penerbangan, eskalator, sistem penyiaran awam serta sistem Wi-Fi.

Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, LTAS telah mengendalikan seramai 1.9 juta penumpang.

“Berdasarkan unjuran SATSSB, projek naik taraf ini mampu menampung penumpang lebih besar sehingga tahun 2026 dan sasaran unjuran menjelang 2030 adalah tujuh juta penumpang,” katanya.

Katanya, sejak pengambilalihan operasi, SATSSB telah melabur lebih RM620 juta untuk menaik taraf dan meningkatkan kemudahan serta insfrastruktur operasi LTAS.

Selain mengendalikan penerbangan penumpang domestik dan antarabangsa, LTAS turut menawarkan perkhidmatan dan kemudahan seperti kompleks kargo, pembaikan penyelenggaraan pesawat dan baik pulih (MRO), logistik dan gudang serta Zon Perindustrian Bebas LTAS.

LTAS sebagai pintu masuk penerbangan Johor kini merupakan salah sebuah lapangan terbang tersibuk di negara ini dengan mempunyai 17 destinasi menghubungkan ke bandar-bandar domestik dan lima bandar antarabangsa.

Sementara itu, Onn Hafiz dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri mahu mengubah ‘The Greater Johor Bahru’ sebagai pintu masuk selatan bagi pelawat dan pelancong ke Malaysia.

Menurutnya, pengumuman mengenai Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas (SEZ) ketika pembentangan Belanjawan 2023 akan menjadi pemangkin bagi perkembangan ekonomi Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN