Proton sumbang enjin perkasa pendidikan teknikal di Perak

Proton sumbang enjin perkasa pendidikan teknikal di Perak

MAJLIS penyerahan enjin sumbangan Proton untuk memperkasa pendidikan teknikal di Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton menyumbang tujuh enjin 1.5 TGDi pemasangan tempatan kepada institusi pendidikan di Perak untuk memperkasa program teknikal di negeri berkenaan.

Antara institusi pendidikan itu ialah Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang; Kolej Vokasional Slim River, Giat Mara Tanjung Malim dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Menurut Proton, enjin berkenaan yang memenangi anugerah dipasang pada barisan pengeluaran iklim terkawal di kilang Tanjung Malim dan terkenal dengan teknologi serta prestasinya.

Jelasnya, pelajar akan diberi latihan eksklusif dan membina pengetahuan dalam servis dan pembangunan enjin serta membantu menyelaraskan kemahiran mereka dengan permintaan industri.

Penyerahan enjin tersebut telah disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang semasa acara berbasikal Proton sempena ulang tahun ke-40 syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, Proton telah mengeluarkan kenderaan di Tanjung Malim selama 20 tahun dan sentiasa mencari peluang untuk menyokong institusi pendidikan tempatan untuk mengembangkan lagi pengetahuan dan kemahiran automotif mereka.

“Kami berharap enjin yang diserahkan hari ini akan membantu memajukan program latihan di institusi dan membantu melatih bakat masa depan untuk industri automotif Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Selain enjin, Proton turut menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada tiga beradik atas usaha cemerlang mereka di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (TEX23). Tiga beradik tersebut Shameer Panduar, 16; Shaheer Panduar, 14 dan Shazlan Panduar, 13.

Mereka adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City dan telah memenangi pingat emas untuk Pameran Rekacipta Muda Dunia (WYIE) dan dinobatkan sebagai Pencipta Muda Terbaik di Pameran Reka Cipta Muda Malaysia (MYIE).

Chunrong berkata, sumbangan tunai Proton itu adalah ganjaran atas usaha dan pengiktirafan mereka bahawa minda muda berbakat boleh ditemui di Tanjung Malim.

“Sama seperti ibu bapa mereka, kami juga berbangga dengan pencapaian mereka dan berharap ini adalah langkah pertama untuk pencapaian yang lebih hebat pada masa hadapan,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN