KUALA LUMPUR: Pemain sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) mesti menerima peralihan tenaga kerana ia dapat menyelesaikan banyak isu yang dihadapi oleh industri pada hari ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan sudah pun mendahului dengan mengumumkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang menggariskan 10 projek perdana dan membuka peluang pelaburan sehingga RM1.85 trilion menjelang 2050.
Katanya, pemain industri seperti Petronas, Gentari dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah banyak terlibat termasuk mewujudkan Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) di Kasawari oleh Petronas.
“Ini adalah salah satu daripada banyak usaha yang membuka bidang kerjasama untuk perusahan kecil dan sederhana (PKS) OGSE. Ia akan memudahkan penyahkarbonan dan menambah baik dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).
“Tambahan pula, ramai generasi muda ingin menyertai syarikat yang mempunyai nilai lebih hijau. Penekanan pada ini penting kerana penjagaan pada masa depan akan menarik dan mengekalkan bakat terbaik.
“Usaha ini mesti diutamakan untuk meningkatkan kemahiran kumpulan pekerja ketika ini. Memastikan pekerja kita berdaya saing akan memastikan mereka kekal di Malaysia dan tidak pergi ke luar negara,” katanya dalam ucaptama pada Jelajah Kebangsaan OGSE 2023 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.
Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Mohd Yazid Ja’afar.
Sementara itu, beliau berkata, tidak ramai yang tahu bahawa 85 peratus daripada syarikat teras OGSE di Malaysia adalah terdiri daripada PKS.
Menurutnya, syarikat-syarikat tersebut mempunyai kurang daripada 75 pekerja dan pendapatan RM20 juta dan ke bawah.
“Mereka menghadapi cabaran yang serupa dengan PKS lain iaitu kurang akses kepada modal, persaingan sengit dengan pemain yang lebih besar, kekurangan bakat dan penggunaan teknologi.
“Ini adalah tambahan cabaran yang mana ramai pemain OGSE masih dalam proses pemulihan daripada kesan jangka panjang kejatuhan harga minyak 2014 dan Covid-19,” ujarnya. – UTUSAN










