SUBANG JAYA: Kekurangan pelan kontingensi dan penarikan pelabur di saat akhir mendorong kepada penggantugan operasi syarikat penerbangn MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline), kata Eksekutif Bertangggngjawab Interimnya, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.
Azharuddin berkata, pihaknya mengakui dan memahami kekecewaan yang dialami oleh penumpang.
Katanya, pelabur tersebut telah menarik saat akhir sebelum syarikat membuat pengumuman pengantungan iaitu pada pukul 4.30 petang pada Rabu, menyebabkan mereka terpaksa mencari pelabur baharu.
“Berhubung dengan bakal pelabur, MYAirline sedang giat meneroka perkongsian strategik, setelah menerima beberapa cadangan. Kebanyakan perbincangan dengan pelabur adalah dalam peringkat akhir. Jadi, hanya menunggu masa sahaja.
“Apabila kami mendapat dana itu nanti , proses bayaran balik itu kepada pelanggan yang terjejas akan bermula. Kami jangkakan pada tahun ini juga,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabatnya di sini petang tadi.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 135,000 penumpang yang terjejas dengan pengantungan tersebut melibatkan kerugian kita-kira RM22 juta dan sebanyak 18,000 telah menghantar e-mel untuk tuntutan bayaran balik.
Jelasnya, gaji kira-kira 900 kakitangannya yang terjejas juga akan dibayar balik setelah menerima dana daripada pelabur nanti.
“Buat masa ini, tidak ada kakitangan kami yang diletakkan dalam cuti tanpa gaji ataupun diberhentikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa perbincangan dengan pemajak sedang berjalan untuk mengekalkan pesawat MYAirline.
Beliau juga mengesahkan bahawa bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) interim MYAirline, Stuart Cross telah meletakkan jawatan.
Khamis lepas MYAirline menerusi satu kenyataan memaklumkan mengenai penggantungan operasinya mulai 6 pagi dan keputusan berkenaan diambil berikutan tekanan kewangan.
Mengulas mengenai pengantungan sementara Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), beliau berkata, pihaknya masih belum menerima surat rasmi daripada pihak berkuasa tersebut. – UTUSAN










