PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG), mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) bagi membina loji kitar semula kimia termaju terbesar di Asia dengan kapasiti 33 kilo-tan setahun (ktpa).
PCG dalam satu kenyataan berkata, loji yang bakal dibangunkan di Pengerang, Johor itu dijangka beroperasi pada separuh pertama 2026.
PCG berkata, FID berkenaan diikuti dengan pemeteraian Perjanjian Lesen Teknologi (TLA) antara anak syarikat PCG dan Plastic Energy Limited (Plastic Energy) serta penganugerahan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan (EPC) kepada Mutiara Etnik Sdn. Bhd.
Menurut PCG, pembinaan loji kitar semula kimia berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda Ekonomi Plastik Baharu PCG untuk menyokong peralihan ke arah ekonomi sirkular dan menyumbang kepada ekosistem plastik yang lestari.
“Loji tersebut akan dapat meneroka keupayaan kitar semula kimia sisa plastik di Malaysia melalui penukaran plastik akhir hayat kepada minyak pirolisis atau TACOIL, yang boleh digunakan sebagai stok suapan kimia ke arah penghasilan plastik yang lestari,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, PCG mempunyai visi untuk memacu inovasi merentasi rantaian nilai plastik di samping mewujudkan peluang untuk semua pihak melalui loji berkenaan.
Ujar beliau, peluang yang diwujudkan itu akan melibatkan pengumpul sisa kepada pengilang, untuk bersama-sama menyumbang kepada ekonomi plastik sirkular bagi membolehkannya memarakan aspirasi negara dalam menyingkirkan plastik sekali guna secara berperingkat.
“Hal ini selaras dengan Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, di samping memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada jenama-jenama besar untuk pembungkusan lestari.
“Plastic Energy akan menyediakan teknologi kitar semula kimia untuk loji tersebut melalui proses TAC terpaten, yang memanaskan campuran sisa plastik pascapengguna tanpa penggunaan oksigen,” katanya.
Tambah beliau lagi, proses tersebut seterusnya menghasilkan wap hidrokarbon, yang melalui proses pemeluwapan menjadi minyak pirolisis atau TACOIL yang boleh digunakan sebagai pengganti stok suapan hidrokarbon dalam penghasilan plastik kitar semula gred makanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Plastic Energy, Carlos Monreal berkata, pihaknya berbesar hati dipilih sebagai penyedia teknologi untuk loji kitar semula kimia baharu mereka di Malaysia sepanjang kerjasama yang terjalin sejak 2019 lagi.
Beliau berkata, Plastic Energy berkongsi matlamat yang sama untuk mengurangkan pencemaran plastik di Asia dengan meningkatkan jumlah sisa plastik yang boleh dikitar semula, dan mengembangkan infrastruktur kitar semula di rantau ini. – UTUSAN










