PETALING JAYA: Tune Protect Malaysia (Tune Protect) menawarkan bayaran ihsan sehingga RM200 kepada penumpang MYAirline yang terjejas berikutan penghentian operasi syarikat penerbangan itu.
Bayaran ihsan itu adalah untuk penumpang terjejas yang telah membeli Insurans Perjalanan Tune Protect dan pembayaran berdasarkan 50 peratus daripada harga tiket penerbangan, tertakluk kepada maksimum RM200 bagi setiap penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Malaysia, Jubin Mehta berkata, walaupun penggantungan operasi syarikat penerbnagan tidak berada di bawah perlindungan Insurans Perjalanan Tune Protect, namun syarikat memahami kesulitan dan kerugian akibat insiden yang berlaku.
Sebagai tindak balas katanya, Tune Protect mengambil langkah proaktif untuk menawarkan sedikit bantuan.
“Kami menyampaikan jemputan ini kepada pelanggan Insurans Perjalanan kami yang mungkin terjejas disebabkan peristiwa ini untuk menghubungi pihak kami bagi mendapatkan bantuan pembayaran ihsan.
“Walaupun insiden seperti ini biasanya tidak dilindungi oleh syarikat insurans, tetapi kami memahami perasaan pelanggan dan ingin meluaskan sokongan kami di luar tradisi bidang perlindungan insurans,” katanya dalam kenyataan.
Tune Protect telah menerapkan syarat-syarat dan terma pembayaran untuk membantu penumpang MYAirline yang telah membeli Insurans Perlindungan Tune Protect:
* Perjalanan yang dibatalkan harus dilindungi oleh Insurans Perjalanan Tune Protect.
* Polisi Insurans Perjalanan tersebut harus dibeli sebelum 12 Oktober 2023 dan tidak pernah dibatalkan.
* Tarikh permulaan polisi mestilah dari 12 Oktober 2023 dan seterusnya.
* Pembayaran ini hanya terpakai untuk tiket penerbangan yang dibeli bersama MYAirlines sebagai syarikat penerbangan yang ditetapkan, sah untuk perjalanan bermula dari 12 Oktober 2023 dan seterusnya.
* Pembayaran ini berjumlah sebanyak 50 peratus daripada harga tiket penerbangan, selepas sebarang diskaun, tertakluk kepada had maksimum RM200 bagi setiap penumpang.
Menurut Tune Protect, penumpang terjejas boleh memuat turun dan melengkapkan borang tuntutan di laman web syarikat berkenaan iaitu: https://www.tuneprotect.com/products/travel-easy-insurance/. Mereka juga dikehendaki emelkan borang tuntutan yang lengkap, jadual perjalanan dan invois tiket penerbangan yang dibeli ke [email protected].
“Setelah permohonan diterima, ia akan disemak dan sekiranya diluluskan, pembayaran akan dibuat dalam masa tiga hari bekerja dari tarikh kelulusan,” jelasnya.
Bagi sebarang pertanyaan atau bantuan semasa proses tuntutan, penumpang yang terkesan boleh menghubungi Tune Protect melalui talian hotline perkhidmatan pelanggan di 1-800-88-5753 atau dengan menghantar emel ke [email protected] – UTUSAN










