KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan operasi bersepadu berskala besar dikenali Op E-Cig Mega, yang menyaksikan rampasan pelbagai barangan berkaitan rokok elektronik haram bernilai keseluruhan RM8.876 juta di seluruh negara.
Operasi dilaksanakan secara serentak pada 10 Februari lalu itu dikendalikan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan kerjasama strategik beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menerusi operasi sama turut menyasarkan 154 lokasi di 13 negeri dengan serbuan tertinggi di Sabah sebanyak 35 lokasi diikuti Kuala Lumpur (29), Sarawak (21) dan Johor (14 lokasi).
Pemangku Pengarah JKDNKA, Datuk Fisol Salleh berkata, antara rampasan terbesar melibatkan cecair vape bernilai RM4.692 juta membabitkan sebanyak 958,852 liter.
Menurut beliau, pihak polis turut merampas peranti vape bernilai RM4.116 juta melibatkan 83,289 unit selain aksesori peranti, bateri, perkakas jualan serta rokok haram bernilai RM67,596.
“Kesemua rampasan dibuat selepas pemeriksaan dijalankan terhadap 141 premis perniagaan vape di seluruh negara. Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 199 kes pelbagai kesalahan berjaya dikesan.
“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 181 individu turut diperiksa dan empat individu berjaya ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Katanya, operasi berkenaan turut menghasilkan kutipan keseluruhan RM330,200 menerusi pengeluaran 195 saman oleh KKM, melibatkan kompaun berjumlah RM156,200 serta kutipan cukai sebanyak RM174,000.
Fisol berkata, seorang lelaki tempatan ditahan di Tangkak, Johor kerana menghalang penjawat awam ketika pemeriksaan dijalankan, manakala seorang wanita tempatan yang dikehendaki polis diberkas di Ipoh, Perak berkaitan kes membuat laporan palsu.
“Dua lagi tangkapan membabitkan warga asing iaitu seorang lelaki warga Indonesia kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta seorang lelaki warga Bangladesh kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
“Kes disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, undang-undang kecil perlesenan perniagaan, Akta Imigresen 1959/63, Akta Cukai Pendapatan 1967 serta Kanun Keseksaan,” katanya.
Seramai 2,140 pegawai dan anggota digerakkan dalam operasi berkenaan melibatkan 995 anggota PDRM dan 1,145 pegawai daripada agensi lain.
Operasi penguatkuasaan secara bersepadu akan terus dipertingkatkan bagi mengekang kegiatan penjualan dan pengedaran vape haram yang semakin berleluasa demi melindungi keselamatan masyarakat serta kepentingan negara.-UTUSAN










