Penularan tibi dijangka meningkat menjelang musim perayaan

Penularan tibi dijangka meningkat menjelang musim perayaan

Malaysia berdepan risiko penularan penyakit tuberkulosis (tibi) yang lebih tinggi terutama menjelang musim perayaan serta cuti persekolahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan risiko penularan penyakit tuberkulosis (tibi) yang lebih tinggi terutama menjelang musim perayaan serta cuti persekolahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd. Khalib berkata, tempoh perayaan menyaksikan masyarakat berkumpul lebih kerap di dalam bangunan, ruang awam yang sesak dan dalam tempoh lebih lama, sekali gus meningkatkan risiko penularan tibi termasuk tibi tahan ubat.

Katanya, ketika perayaan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan, masyarakat lebih kerap melakukan aktiviti perjalanan, kunjungan, makan bersama dan perhimpunan besar di dalam bangunan.

“Semua ini adalah persekitaran yang berpotensi meningkatkan risiko penularan tibi. Tibi merebak melalui udara dan sebarang aktiviti di mana individu yang menghidap tibi aktif bercakap, menjerit, batuk atau bersin di kawasan sesak dan tertutup boleh menjangkiti ramai orang tanpa disedari.

“Antara contoh termasuk rumah yang dipenuhi tetamu, pengangkutan awam, tempat kerja, asrama dan rumah ibadat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azrul berkata, kajian di kawasan dengan kadar kes tinggi menunjukkan lebih 80 peratus penularan tibi berlaku di luar rumah seperti di tempat kerja, pengangkutan awam dan perhimpunan sosial.

“Sekitar 85 peratus kes tibi melibatkan rakyat Malaysia manakala 15 peratus adalah bukan warganegara. Kami bimbang dengan kemunculan tibi tahan ubat termasuk MDR-TB dan XDR-TB yang lebih sukar dirawat dan mempunyai kadar kematian lebih tinggi.

“Tibi boleh dirawat menggunakan antibiotik barisan pertama seperti rifampin, ethambutol dan isoniazid selama enam hingga sembilan bulan, tetapi rawatan berkesan sekiranya pesakit berjaya melengkapkannya tanpa gangguan,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia masih menghadapi cabaran termasuk kadar gangguan rawatan sekitar 24 peratus dan kadar kejayaan 81.5 peratus bagi kes baharu di bawah sasaran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Penularan tibi tahan ubat berlaku akibat dos dan rawatan tidak lengkap. Ia lebih mahal, lebih kompleks untuk diurus dan lebih berbahaya kepada pesakit serta komuniti.

“Warga emas dan individu dengan penyakit kronik sebagai paling berisiko. Jika mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, batuk berdarah atau penurunan berat badan ketara, jangan tunggu atau merawat sendiri,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan, sebanyak 503 kes baharu tuberkulosis atau tibi dikesan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi kelima tahun ini (ME 5/2026) menjadikan bilangan keseluruhan kes kepada 2,571 setakat ini.

Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 614 kes diikuti Selangor (476 kes), Sarawak (257 kes), Johor (233 kes) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya (202 kes).

Sebanyak 148 kes direkodkan di Pulau Pinang, Kedah (144 kes), Perak (127 kes), Kelantan (96 kes), Pahang (81 kes), Terengganu (60 kes), Negeri Sembilan (58 kes), Melaka (42 kes), Perlis (17 kes) dan Labuan (16 kes).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN