Larangan main mercun, bunga api selepas 12 tengah malam  

Larangan main mercun, bunga api selepas 12 tengah malam  

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur mengingatkan orang ramai agar tidak bermain mercun atau bunga api melebihi pukul 12 tengah malam kerana boleh mengganggu ketenteraman awam serta mendatangkan bahaya kepada pihak lain.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, aktiviti bermain mercun pada lewat malam sehingga mengganggu pihak lain perlu dielakkan.

Menurutnya, peringatan itu bukan hanya merujuk kepada sambutan Tahun Baharu Cina semata-mata, sebaliknya terpakai bagi semua perayaan sepanjang tahun.

“Tiada sebarang pilih kasih terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan tindakan akan diambil serta-merta tanpa mengira bangsa atau agama kerana ia melibatkan isu ketenteraman awam yang menjadi keutamaan ketika ini.

“Kita juga ingin menegaskan bahawa penjualan mercun dan bunga api di sekitar Kuala Lumpur adalah melalui permohonan permit yang diberikan oleh pihak polis.

“Kita pastikan mana-mana jualan yang tidak mempunyai permit dan tidak berlesen akan diambil tindakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

Menurut Fadil, pihak polis setakat ini menerima banyak aduan berhubung penjualan mercun dan bunga api tanpa permit di sekitar ibu negara.

“Ini adalah tanggungjawab penguatkuasaan semua agensi yang diketuai oleh polis. Kita hanya mahu memperjelaskan perkara ini kerana ada yang mempertikaikan. Sesiapa yang melanggar peraturan ditetapkan, tidak kira bangsa atau agama, tindakan akan diambil,” katanya.

Media semalam melaporkan hanya bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan untuk dijual serta dimainkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Fadil dilaporkan berkata, kebenaran itu diberikan kerana kedua-dua jenis bunga api berkenaan tidak mengandungi bahan letupan yang boleh membahayakan keselamatan umum.

Beliau menjelaskan, penjualan kedua-dua jenis bahan itu masih tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Sesiapa yang memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api selain daripada yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN