KUALA LUMPUR: Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) akan memulakan semakan separuh penggal Pelan Tindakan OGSE pada tahun depan yang disasarkan dapat dikongsi pada 2025.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Ja’afar berkata, terdapat keperluan untuk menyemak Pelan Tindakan OGSE yang berusia tiga tahun untuk memastikan pendekatannya terus kekal relevan dan pragmatik.
Katanya, pihaknya menyeru semua pihak berkepentingan dalam industri untuk terus bekerjasama antara satu sama lain dalam usaha ini untuk merealisasikan potensi dan visi industri OGSE.
“Ini amat penting di tengah-tengah peralihan tenaga, pemain OGSE perlu membuat langkah penting untuk mematuhi keperluan kemampanan dan model perniagaan baharu bagi memenuhi aspirasi rendah karbon negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Jelajah Kebangsaan OGSE 2023 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, perjalanan untuk mencapai tarikh akhir Pelan Tindakan OGSE 2030 masih panjang dan pihak berkepentingan perlu melaksanakan inisiatif bermakna yang menggerakkan jarum ataupun perubahan yang nyata.
“Untuk ini, kami memerlukan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem OGSE.
“Ini bagi memastikan menjelang penghujung garis masa pelaksanaan Pelan Tindakan OGSE, bersama-sama, kita telah melakukan kerja yang diperlukan untuk memastikan jangka hayat dan kemampanan industri OGSE Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN










