Kerjasama MPOCC, HDC perluas imej halal jenama sawit

Kerjasama MPOCC, HDC perluas imej halal jenama sawit

FADILLAH Yusof ketika Sesi Merestui Memorandum (MoU) antara Pengerusi MPOCC, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman (dua, kanan) dan Ketua Halal Development Corporation (HDC), Zamulud Awang Kechik (dua, kiri) di kementerianya, hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pensijilan halal Malaysia yang amat diyakini di seluruh dunia mampu memperluaskan lagi produk minyak sawit negara ke pasaran luar lebih besar.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pasaran halal global begitu besar dan beliau optimis jaringan dua agensi tempatan itu akan meneroka permintaan tinggi ke atas produk halal berasaskan minyak sawit.

Fadillah berkata, strategi kerjasama silang MPOCC dengan HDC adalah langkah tambah nilai mempromosikan pensijilan minyak sawit mampan Malaysia (MSPO).

“Mana-mana produk ada sijil halal negara ini sudah pasti mudah menembusi pasaran luar kerana terdapat 1.8 bilion umat Islam yang meyakini jenama halal dari Malaysia,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) di sini, hari ini.

Jenama halal Malaysia ujarnya, menerima pengiktirafan di lebih 47 negara melibatkan 84 badan pensijilan antarabangsa sehingga dijadikan penanda aras standard Islam sejagat.

Tahun lalu, nilai eksport halal Malaysia mencecah RM59.4 bilion dengan 4.7 peratus ialah produk berasaskan kelapa sawit berbanding pasaran halal global bernilai RM14.3 trilion.

Ditanya mengenai Belanjawan 2024 lebih memberi tumpuan ke arah automasi dan mekanisasi, beliau berkata, pihak kementeriannya telah bersedia, malah menyambut baik langkah banyak syarikat perladangan yang mula beralih kepada penggunaan teknologi tinggi dan mengurangkan kebergantungan buruh asing.

Walau bagaimanapun kata Fadillah, cabaran yang perlu dihadapi ketika ini ialah proses penuaian hasil terutama kelapa sawit kerana pokok agak tinggi dan saiz ladang juga luas.

“Setakat ini, memang ada dron digunakan misalnya untuk tujuan racun dan baja tetapi isu besar ialah petik hasil kerana belum ada robot sesuai boleh ganti manusia,” tambahnya.

Begitu juga jelas beliau, kos penggunaan teknologi moden yang cukup mahal adalah tidak berbaloi kecuali untuk syarikat besar kerana ia memerlukan modal dan kepakaran tinggi, justeru pihak kementerian memberi jaminan akan menilai segala kaedah yang terbaik terutama bagi membantu pekebun kecil getah dan kelapa sawit dalam isu tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN