KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan mempermudahkan urusan birokrasi dalam kenderaan elektrik (EV) termasuk trak prime mover bagi menggalakkan lebih banyak syarikat beralih kepada penggunaan kenderaan tersebut dalam pasaran.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, usaha tersebut diharapkan dapat menarik lebih banyak syarikat untuk melabur dalam EV dan menyediakan pasaran yang lebih besar bagi trak prime mover elektrik.
Katanya, banyak syarikat multinasional yang mementingkan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) dan dasar mengurangkan pelepasan karbon dalam operasi mereka.
“Jadi, prasarana dan perkhidmatan kita (kerajaan) dari segi logistik dan pengangkutan mesti ada penyediaan ke arah tersebut. Ini kerana, pelaburan yang mereka buat juga agak besar iaitu
“Kita dapat membantu mereka untuk merendahkan jejak karbon dan sekaligus menjadikan negara lebih berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Bahagian Logistik Hijau dan Serah Lori Terminal Elektrik Pertama Malaysia oleh Swift Haulage Berhad (Swift) kepada Unilever Malaysia di Pusat Pemeran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift, Loo Yong Hui, Pengurus Besar Unilever Malaysia, Lenny Chuah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir.
AmBank telah menyediakan pembiayaan kewangan bagi pembelian lori terminal elektrik yang canggih oleh Swift itu, sejajar dengan langkah untuk mengurangkan emisi karbon dan menggalakkan persekitaran yang lebih bersih.
Inisiatif pembiayaan hijau ini sejajar dengan matlamat AmBank untuk memupuk amalan mesra alam dan memainkan peranan dalam usaha Malaysia menangani isu perubahan iklim.
Sementara itu, Anthony berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) yang mungkin tidak sesuai dengan EV.
“Untuk kenderaan EV terutamanya kenderaan berat mungkin adalah baharu. Kebanyakan peraturan yang digunakan ketika ini adalah untuk kenderaan konvensional yang menggunakan diesel dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN










