PETALING JAYA: Bintai Kinden Corporation Berhad (Bintai) mengumumkan Johnson Medical International Sdn. Bhd. (JMI), anak syarikat 50.5 peratus miliknya, telah memperolehi kontrak RM3.5 juta daripada Blackfox Engineering Sdn. Bhd. (BFESB).
Kontrak melibatkan pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem loket untuk Hospital Petrajaya dengan 300 katil di Petra Jaya, Kuching, Sarawak.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bintai, Datuk Tay Chor Han berkata, Kumpulan sangat teruja untuk JMI bekerjasama dengan BFESB dalam projek tersebut kerana JMI mempunyai reputasi mantap sebagai pembekal Pakar Sistem Loket tempatan yang kompetitif.
“Ditambah dengan kepakaran mekanikal dan elektrikal Kumpulan Bintai menyokong kami untuk melaksanakan projek yang lebih kompleks dan bernilai tinggi, kami optimis bahawa JMI akan terus memajukan penawaran perkhidmatan dan
produknya yang berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kontrak terbaru itu antara laim menyertai barisan projek yang JMI pernah terlibat sebelum ini, seperti Hospital Tanjong Karang, Hospital UTAR, Hospital Cyberjaya dan Hospital Putrajaya.
Kontrak selama 380 hari itu bukan sahaja memperkukuh aliran hasil Syarikat tetapi juga menyerlahkan kecekapan JMI dalam penyelesaian infrastruktur perubatan, katanya.
Mempunyai pelbagai paten dan reka bentuk berdaftar, JMI kekal sebagai peneraju dalam bidang penyelesaian penjagaan kesihatan modular.
Kontrak akan menyumbang secara positif kepada kewangan Syarikat untuk tahun berakhir 31 Mac 2024 dan 31 Mac 2025, jelas syarikat itu. – UTUSAN










