PETALING JAYA: Mulai 2024, program i-Sayang akan diperluaskan untuk turut membolehkan isteri yang bekerja memindahkan 2 peratus daripada caruman bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (syer pekerja) ke akaun suami mereka.
Menurut KWSP, program i-Sayang yang dilancarkan pada Mac 2023, membolehkan suami memperuntukkan 2 peratus daripada caruman KWSP bulanan (syer pekerja) secara sukarela ke akaun KWSP isteri mereka.
“Sejak program ini dilancarkan, lebih kurang 34,000 suami telah menyertai program i-Sayang yang melibatkan jumlah simpanan sebanyak RM14.7 juta,” katanya dalam kenyataan.
Perluasan program i-Sayang satu daripada empat inisiatif bakal dilaksanakan kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu bagi menangani beberapa perkara dibangkitkan KWSP berkenaan kesejahteraan kewangan jangka panjang rakyat Malaysia.
Tiga lagi inisiatif ialah penambahbaikan dan pelanjutan program i-Saraan melangkaui tahun 2023; melanjutkan program i-Suri dan memperkenalkan carumanan padanan serta amaun insentif maksimum kepada golongan suri rumah serta penstrukturan semula Akaun KWSP.
Di bawah i-Saraan, KWSP mengalu-alukan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan had caruman padanan daripada RM300 kepada RM500 setahun.
Kerajaan juga akan menambah baik program i-Saraan di mana rakyat Malaysia dalam sektor tidak formal, termasuk golongan bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap di bawah umur 60 tahun yang mencarum secara sukarela kepada i-Saraan berpeluang menerima insentif maksimum seumur hidup sebanyak RM5,000, tertakluk kepada had RM500 setahun.
“Inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 350,000 peserta i-Saraan sedia ada dan baharu,” katanya.
Menurut KWSP, melalui Belanjawan 2024 juga, kerajaan berhasrat untuk melanjutkan program i-Suri, di mana kerajaan akan memberikan insentif caruman padanan bagi setiap ringgit yang dicarumkan ke dalam Skim KWSP oleh suri rumah di bawah umur 60 tahun yang berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih.
Sehubungan itu, peserta i-Suri juga berpeluang menerima insentif seumur hidup sebanyak RM3,000 setiap individu, tertakluk kepada insentif padanan sebanyak RM300 setahun.
Di bawah penstrukturan semula Akaun KWSP pula, dana pencen itu berkata, pihaknya sentiasa mengkaji semula Skim KWSP untuk memastikan ahli boleh memenuhi keperluan kitaran hidup tanpa menjejaskan simpanan mereka bagi tujuan persaraan kelak.
“Oleh itu, bagi membantu ahli mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang, akaun ahli KWSP akan distruktur semula untuk memperkasakan lagi simpanan persaraan demi kesejahteraan hari tua.
“Pada masa yang sama, KWSP juga akan memperkenalkan Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu yang boleh diakses oleh ahli pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan,” katanya.
Mengulas inisiatif berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP yakin dan percaya bahawa inisiatif ini dapat membantu rakyat Malaysia meningkatkan simpanan persaraan dan memupuk keharmonian
dan kesejahteraan dalam keluarga.
“Sebagai sebuah dana persaraan, KWSP menyokong dan akan bekerjasama dengan kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI untuk memastikan kehidupan persaraan rakyat Malaysia terjamin,” katanya dan menambah bahawa
inisiatif yang diumumkan semasa Belanjawan 2024 adalah tertakluk kepada kelulusan Parlimen. – UTUSAN










