EPMB, Great Wall Motor jalin kerjasama

EPMB, Great Wall Motor jalin kerjasama untuk kenderaan pemasangan, pembuatan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) melalui anak syarikatnya, PEPS-JV (Melaka) Sdn. Bhd. telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Great Wall Motor Sales Malaysia Sdn. Bhd. (GWM Malaysia), anak syarikat Great Wall Motor Co. Ltd. (GWM) untuk pemasangan dan pembuatan tempatan (CKD) di Malaysia.

Dengan MOU itu, EPMB dan GWM Malaysia akan bekerjasama untuk memuktamadkan perjanjian (definitive agreement) dalam tiga bulan akan datang, dengan tujuan memberi peranan penting kepada EPMB untuk memasang model-model GWM yang terpilih, secara tempatan.

Model-model itu dijangka termasuk model terkemuka seperti GWM SUV, trak pikap dan kenderaan elektrik (EV) yang canggih.

“Kerjasama ini merupakan langkah strategik ke arah memajukan pemasangan kenderaan tempatan, sejajar dengan visi kerajaan Malaysia untuk meningkatkan keupayaan automotif dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan industri di Malaysia,” maklum EPMB dalam kenyataan.

Jelasnya, jika kedua-dua pihak mencapai persetujuan tersebut, EPMB menjangkakan untuk memulakan kerjasama bermula 2024.

Pengeluaran kenderaan GWM EPMB dijangka akan meningkat secara berperingkat setiap tahun, dan disasarkan mencecah 20,000 unit menjelang 2028, katanya.

Mengulas kerjasama itu, Ketua Pegawai Eksekutif EPMB, Ahmad Razlan Mohamed berkata, Syarikat amat berbesar hati untuk memulakan pakatan strategik dengan GWM, jenama pikap yang kukuh di China, dan terkemuka di seluruh dunia.

“Kami akan gigih berusaha untuk memupuk kerjasama yang saling menguntungkan dengan GWM, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan masa depan kedua-dua jenama,” katanya.

Kerjasama itu dijangka memainkan peranan penting dalam rancangan GWM Malaysia di rantau ASEAN untuk terus mewujudkan kehadiran pasarannya dengan rangkaian infrastruktur jualan, servis selepas jualan serta penyelenggaraan yang komprehensif.

Pengarah Urusan GWM Malaysia, Mike Cui pula berkata, GWM Malaysia teruja dapat menyaksikan detik yang menarik bersama-sama dengan EPMB, pembekal automotif Tier-1 yang bereputasi di Malaysia.

“Sebagai projek CKD pertama GWM di ASEAN, ini akan menjadi jejak penting dalam landskap pengeluaran global GWM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN