PETALING JAYA: City Energy dan Gentari Sdn. Bhd. (Gentari) menandatangani Perjanjian Kajian Kebolehlaksanaan Bersama untuk membina saluran paip dari Malaysia ke Singapura bagi import hidrogen ke republik itu.
Ia lanjutan kepada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada April 2023 antara City Energy, pengeluar tunggal dan pembekal gas bandar berpaip di Singapura dan Gentari.
City Energy adalah anak syarikat milik penuh Keppel Infrastructure Trust dan Gentari, penyedia penyelesaian tenaga bersih Malaysia dimiliki Petronas.
Menurut kenyataan, kajian akan dijalankan dalam tempoh 12 bulan dan selepas kesimpulan kajian, kedua-dua pihak akan secara kolektif menentukan kedudukan usaha seterusnya berhubung pelaksanaan perjanjian Reka Bentuk Kejuruteraan Bahagian Hadapan Akhir (FEED).
Ketua Pegawai Eksekutif City Energy, Perry Ong berkata, kajian menekankan komitmen Syarikat untuk menyediakan tenaga mampan kepada isi rumah dan perniagaan.
Katanya, hidrogen ialah komponen terbesar dalam gas berpaip bandar yang dihasilkan di kilang Senoko Gasworks milik City Energy di utara Singapura. Ia menjadikan City Energy satu daripada pengedar hidrogen terakhir terbesar di republik itu.
“Sebarang saluran paip yang akan diwujudkan oleh pihak tersebut akan membekalkan hidrogen ke kilang Senoko Gasworks.
“Kerjasama dengan Gentari adalah lanjutan kajian berterusan City Energy dengan rakan kongsi industri terkemuka dan institut pengajian tinggi untuk meneroka sumber hidrogen alternatif,” katanya, semalam.
Ketua Pegawai Hidrogen Gentari, Michèle Azalbert pula berkata, kerjasama merupakan langkah strategik Gentari ke arah mempercepatkan penggunaan hidrogen bersih sebagai sumber tenaga yang berdaya maju.
“Selaras dengan matlamat kami untuk menghasilkan sehingga 1.2 juta tan hidrogen bersih setahun, Gentari berbesar hati menyumbang ke arah mempercepatkan pembangunan hidrogen bersih melalui infrastruktur rentas sempadan.
“Ini menyokong sasaran Malaysia dan Singapura untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” jelasnya. – UTUSAN










