PETALING JAYA: Bursa Malaysia bertukar bercampur-campur pada sesi dagangan awal pagi ini di tengah-tengah dagangan yang terikat dan berhati-hati, meskipun Wall Street mengalami aliran meningkat semalaman, kata peniaga, lapor Bernama.
Pada 9.06 pagi, FBM KLCI susut 2.04 mata kepada 1,413.80, daripada penutupan semalam pada 1,415.84.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 155 berbanding 138, manakala 254 kaunter tidak berubah, 1,741 tidak diniagakan dan 15 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 173.19 juta unit bernilai RM71.21 juta.
Dalam satu nota, Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, dengan Wall Street bertukar lebih positif semalaman, minat belian berkemungkinan akan melimpah kepada bursa tempatan, terutamanya dalam sektor teknologi, manakala sektor tenaga akan berada di bawah tekanan di tengah-tengah kejatuhan harga minyak mentah Brent.
Katanya, pelabur mungkin masih mempertaruhkan kedudukan mereka menjelang pengumuman Belanjawan 2024 minggu depan, memberi tumpuan kepada pemangkin yang dipacu domestik dalam jangka terdekat, berdasarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu.
“Aktiviti perdagangan juga mungkin muncul dalam sektor pembinaan, bahan binaan dan hartanah,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd. (Maybank) tidak berubah pada RM8.73 sesaham, Public Bank Bhd. naik satu sen kepada RM4.06. CIMB Group Holdings Bhd. pula menambah dua sen kepada RM5.42 manakala Tenaga Nasional Bhd. susut tiga sen kepada RM9 .93, dan Petronas Chemicals Group Bhd. susut lima sen kepada RM7.05. – UTUSAN










