BHB perlu pulangkan deposit RM229.15 juta kepada KLK

Batal pelupusan: BHB perlu pulangkan deposit RM229.15 juta kepada KLK dalam tempoh 14 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pelupusan 33 peratus kepentingan dalam Bousted Plantations Berhad (BPlant) kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) telah ditamatkan.

Susulan itu, Bousted Holdings Berhad (BHB) perlu memulangkan deposit berjumlah RM229.15 juta (RM229,151,989.46) kepada KLK dalam tempoh 14 hari bekerja bermula hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KLK berkata, pemulangan selain dari tarikh tersebut perlu dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

“Penamatan perjanjian kerjasama strategik (SCA) dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan, pendapatan sesaham, NA dan NA sesaham Kumpulan KLK bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024,” katanya.

Dalam makluman berasingan, BPlant turut memaklumkan pembatalan cadangan penjualan saham syarikat itu kepada KLK susulan pihak-pihak terlibat gagal mencapai kata sepakat berhubung tarikh akhir SCA pada 6 Oktober ini.

Katanya, dalam keadaan tersebut, pihak-pihak terlibat bersetuju bahawa SCA akan ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 4 Oktober 2023 (hari ini).

“Penamatan SCA dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan, pendapatan sesaham, NA dan NA sesaham Syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023,” katanya.

BPlant turut memaklumkan urusniaga syarikat itu akan kembali didagangkan di Bursa Malaysia pada esok.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan cadangan pelupusan 33 peratus kepentingan dalam BPlant oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan BHB kepada KLK telah gagal.

Berdasarkan laporan awal, perjanjian pelupusan itu akan menyaksikan LTAT dan Bousted menerima RM1.15 bilion daripada KLK untuk 33 peratus kepentingan tersebut, ketika Bousted berusaha untuk menangani hutang jangka pendeknya berjumlah RM3.99 bilion pada akhir Mac. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN