Tujuh perkara jadikan Melaka mesra pelabur

Tujuh perkara jadikan Melaka mesra pelabur

AB. RAUF Yusoh berucap pada Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di MITC, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pusat sehentian atau one stop centre (OSC) bagi meluluskan projek-projek industri disaran mengadakan mesyuarat lebih kerap agar proses berkaitan berjalan dengan cekap, selaras dengan imej Melaka sebagai negeri mesra pelabur.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ini bagi mengelakkan pelabur yang berminat masuk ke negeri ini berasa sukar mendapatkan lesen atau kerja-kerja dalam bentuk kebenaran merancang.

Katanya, perkara itu boleh dilakukan dengan pantas dan teratur tanpa mengambil masa yang lama.

“Kelulusan merancang ini kita akan pinda hasil daripada retreat (program pemukiman) hari ini dengan lebih cekap lagi. Dulu kita mungkin beri kebenaran merancang kepada individu tetapi mungkin kali ini, kita beri kebenaran dalam bentuk kelompok, dalam satu-satu kawasan industri yang diwartakan.

“OSC memang sudah lama diwujudkan, tapi dalam kita nak menyambut kedatangan pelabur-pelabur yang berminat menggunakan Melaka sebagai negeri mesra pelabur, kita akan pastikan OSC kerap mengadakan mesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, terdapat tujuh perkara perlu diberikan tumpuan dalam usaha menjadikan Melaka sebagai negeri mesra pelabur.

Menurutnya, semua jabatan dan agensi harus memainkan peranan penting sebagai pemudah cara terhadap proses-proses pelaburan.

“Tujuh perkara itu adalah penyediaan pelan rancangan pihak berkuasa tempatan (PBT), kebenaran merancang melalui OSC, penyediaan kajian impak pembangunan, penguatkuasaan secara berhemah dan mengkaji semula peraturan dan undang-undang yang tidak mesra pelabur. Selain itu, memudahkan proses hal ehwal tanah dan terakhir adalah Projek Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN