MUKADIMAH
DITUBUHKAN pada 2002, Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), menawarkan pembiayaan yang fleksibel serta kadar pembiayaan yang berpatutan kepada syarikat-syarikat berasaskan teknologi tempatan terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Syarikat milik Kementerian Kewangan (Diperbadankan) itu, mengambil pendekatan pembiayaan berbeza daripada institusi pembiayaan lain di mana MDV tidak hanya bergantung kepada rekod prestasi operasi syarikat ataupun penyata kewangan.
Sebaliknya, MDV memberi tumpuan terhadap potensi teknologi yang dibangunkan serta keupayaan ahli pengurusan tertinggi syarikat yang memohon pembiayaan, sekaligus menjadikan MDV agensi pembiayaan yang unik serta inovatif di Malaysia.
Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID dengan Ketua Pegawai Perniagaan MDV, MARAZIZI OMAR yang berkongsi usaha MDV membantu syarikat berasaskan teknologi yang kebiasaannya sukar memperoleh pembiayaan daripada institusi kewangan tradisional kerana risiko pembiayaan lebih tinggi yang perlu diambil untuk membiayai mereka.
UTUSAN: Boleh tuan jelaskan serba sedikit tentang MDV dan bagaimana MDV berperanan membantu syarikat pemula di Malaysia?
MARAZIZI: MDV merupakan sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang ditubuhkan pada 2002 di mana kami menawarkan pembiayaan fleksibel pada kadar pembiayaan yang berpatutan.
Pada awalnya MDV memberi tumpuan membantu syarikat terutamanya PMKS bagi sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), namun selaras dengan kepesatan kemajuan teknologi negara serta keperluan syarikat-syarikat berasaskan teknologi, MDV memperluaskan sektor pembiayaan merangkumi sektor teknologi hijau, bioteknologi, teknologi strategik dan juga syarikat-syarikat pemula (start-ups).
Syarikat pemula, terutamanya yang berasaskan teknologi, memerlukan bantuan dan intervensi dalam bentuk dasar kerajaan yang mesra pelaburan dan stabil, infrastruktur ICT yang bertaraf dunia, bekalan tenaga mahir yang mencukupi, bimbingan dan strategi pemasaran yang berkesan, serta akses pembiayaan yang lebih luas.
Di sinilah MDV dapat memenuhi peranannya dengan berkesan iaitu dengan menyediakan produk serta program pembiayaan yang bersasar serta bersesuaian dengan keperluan syarikat pemula teknologi, kerana MDV mempunyai pengalaman serta kepakaran yang luas dalam memahami model perniagaan yang baru dan inovatif.
Apakah persediaan yang diperlukan sebelum memulakan perniagaan khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang pengalaman?
Secara jujurnya, saya berpendapat memulakan perniagaan itu tidaklah sukar, tetapi apa yang lebih mencabar bagi ramai usahawan di luar sana ialah untuk memastikan perniagaan yang dimulakan itu akan berjaya dan dapat bertahan lama di pasaran.
Dari aspek teknologi, ingin saya tekankan, bahawa jika anda tidak mempunyai idea, cari bidang perniagaan teknologi yang ada permintaan selain perlu melihat kepada permasalahan atau jurang yang wujud di dalam masyarakat.
Usahawan boleh menawarkan solusi yang bersesuaian melalui pengenalan produk atau perkhidmatan yang dapat mewujudkan nilai tambah untuk pengguna sekaligus membenarkan usahawan untuk menguasai pasaran baru.
Selain itu, saya juga ingin menekankan kepada usahawan agar mencipta faktor perbezaan dengan syarikat-syarikat lain agar dapat mencipta persaingan yang sihat dan untuk kekal relevan dalam pasaran, terokai inovasi baharu secara berterusan.
Bagaimana dengan usahawan atau syarikat pemula bumiputera, apakah cabaran mereka dan adakah MDV mempunyai cara untuk membantu mereka?
Antara cabaran utama yang dihadapi syarikat pemula, tidak kira bumiputera atau sesiapa sahaja, dan bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia ialah akses kepada pembiayaan yang mencukupi serta bersesuaian. Ini kerana rata-rata syarikat pemula mempunyai keperluan pembiayaan yang berbeza bergantung kepada fasa perkembangan syarikat tersebut.
Misalnya, bagi sektor teknologi, akses kepada pembiayaan merupakan pemangkin utama bagi pembangunan syarikat-syarikat yang berpotensi tinggi di dalam sektor teknologi di samping membuka peluang pasaran dan industri baru yang dapat menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan serta melonjakkan tahap pendapatan.
Sehingga tahun 2022, MDV telah aktif menyokong usahawan bumiputera dan syarikat yang berkembang pesat di Malaysia melalui pendekatan pembiayaan hutang teroka. Di MDV, kebanyakan pembiayaan kami disalurkan kepada syarikat PMKS Bumiputera menerusi pelbagai produk pembiayaan.
Misalnya pada tahun lepas, 27 daripada 28 syarikat yang mendekati MDV merupakan syarikat PMKS Bumiputera dengan kesemua mereka memohon pembiayaan Islamik. Antara produk pembiayaan yang ditawarkan kepada mereka ialah pembiayaan umum, LIFT, MDV Leap, Superb Teraju CIFA, MDV TACT 2 dan THRUST.
Sehingga tahun kewangan 2022, MDV telah berjaya menyalurkan pembiayaan bernilai lebih RM12 bilion kepada lebih 1,000 syarikat yang berteknologi tinggi di mana 56.95 peratus merupakan syarikat bumiputera dengan lebih 80 peratus syarikat PMKS yang berasaskan teknologi. Pada tahun 2022 sebanyak RM166.9 juta pembiayaan telah disalurkan kepada 27 syarikat dan projek berkaitan teknologi.
Apakah aspirasi MDV untuk sektor teknologi terutamanya bagi syarikat start-up bumiputera di Malaysia?
Peranan dan impak pembiayaan MDV adalah lebih daripada memberikan pembiayaan perniagaan yang inovatif kepada syarikat-syarikat berasaskan teknologi yang berpotensi tinggi khususnya syarikat bumiputera.
Fokus utama kami adalah menyambung kesenjangan pembiayaan dan meluaskan akses kepada syarikat pemula khususnya bumiputra yang sering menghadapi cabaran untuk mendapatkan pembiayaan yang mencukupi bagi pertumbuhan dan pengembangan perniagaan mereka.
Memahami landskap perniagaan yang sentiasa berubah, MDV menawarkan strategi dan pembiayaan yang memenuhi tuntutan tersebut. Kami akan terus mengutamakan pembiayaan sektor-sektor utama yang diberi mandat oleh kerajaan, meliputi ICT, teknologi hijau, medtech, fintech, agritech dan sambil meneroka bidang yang mungkin mempunyai potensi tinggi untuk mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan.
MDV juga sentiasa selari dengan agenda kebangsaan dan bidang fokus kerajaan. Contohnya, salah satu bidang yang kami teroka baru-baru ini iaitu pembiayaan teknologi hijau di mana MDV menyokong projek-projek lestari yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan penyelesaian tenaga yang lebih bersih.
Sejak penubuhan MDV lebih 20 tahun yang lalu, program-program pembiayaan kami mencipta impak sosio-ekonomi yang berkekalan di mana ia telah membantu rakyat Malaysia untuk maju dan Makmur. Ia telah menyumbang kepada sosio-ekonomi negara melalui penciptaan peluang pekerjaan dan menggalakkan proses pemindahan pengetahuan. – UTUSAN